KEADAAN suhu dan cuaca politik negara semakin panas dan tidak menentu. Banyak peristiwa pelik dan aneh sedang berlaku, Sama ada disedari atau tidak oleh pemimpin UMNO dan rakyat negara ini, kesemua peristiwa atau kejadian itu mirip ke arah menzahirkan ketidakpuasan.
Ada peristiwa kawan menikam kawan. Di Sabah misalnya, Tan Sri Bernard Dompok, Presiden UPKO, salah satu parti komponen Barisan Nasional (BN) secara terang-terangan mengkritik konsep 1Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Menurut Bernard Dompok, konsep yang diilhamkan itu memang baik, tetapi beliau mempertikai dan memperkitai sama ada UMNO atau NGO tertentu akan membenarkan Najib merealisasikan konsep berkenaan. Ketidakyakinan Dompok barangkali berpandukan kepada kenyataan dan bahasa badan yang ditunjukkan oleh sesetengah pemimpin UMNO dan NGO tertentu berhubung hal berkaitan hak orang Melayu.
Dan tidak cukup seorang kawan, seorang lagi kawan bernama Datuk Chua Soi Lek, presiden MCA yang mewakili sebahagian daripada rakyat Cina di negara ini, tanpa salam atau ucapan maaf telah menyerang perkara yang menyentuh kepentingan Melayu dan Bumiputera dalam perlembagaan negara. Serangan Chua berhubung isu ekuiti 30 peratus kepada Melayu dan Bumiputera secara terbuka adalah jelas menunjukkan MCA sebagai rakan kongsi politik UMNO mulai bersikap kurang menghormati perasaan kawan sendiri.
Dua peristiwa besar dan penting ini diibaratkan belati dan api yang bukan sahaja menikam perasaan pemimpin tertinggi UMNO tetapi turut membakar sentimen di kalangan majoriti orang Melayu dan UMNO. Hakikatnya, amat jelas kekuatan UMNO dan pemimpinnya yang menjadi abang sulung dalam keluarga BN kelihatan kian terhakis dan seolah-olah tidak dihormati. Malah sebagai parti teras dalam komponen BN, UMNO kelihatan tidak begitu bermaya menangani kegelojohan MCA dan UPKO memperkatakan isu-isu yang amat sensitif. Sebaliknya, tugas untuk mendiamkan mulut Chua dan MCA diambilalih oleh NGO lain seperti Perkasa, DPMMS dan MAPEM.
Nah...lihat dan nilaikanlah. Di mana sebenarnya kekuatan UMNO yang tinggal kini? Bukan setakat disindir dan tidak dihormati ahli keluarga komponen sendiri, apa sahaja yang UMNO cuba lakukan pula seperti kian tidak menjadi. Sebagai contoh usaha dalam memperkukuhkan ekonomi di dalam negara. Negeri-negeri di bawah tadbir Pakatan Rakyat (PR) yang empat buah, iaitu Kelantan, Selangor, Kedah dan Pulau Pinang berupaya mencatat kemasukan pelaburan luar dan tempatan sebanyak RM7 bilion sehingga Jun lalu, iaitu melebihi 50 peratus daripada jumlah keseluruhan yang dicatat di Semenanjung Malaysia sebanyak RM13.2 bilion. Negeri-negeri lain di bawah tadbir BN dan UMN tidak mampu mencatat pelaburan sebanyak itu walaupun mendapat sokongan daripada kerajaan pusat. Malah Kelantan yang ditohmah-tohmahkan itu konon sebagai negeri tidak maju selagi berada di bawah PAS mengejutkan Pahang, negeri kelahiran Najib apabila mengutip pelaburan RM170 juta berbanding Pahang yang hanya mencatat RM46 juta,
UMNO mahu berpaksikan kepada alasan atau rasional apa lagi untuk menunjukkan ia masih kuat dan relevan jika kelemahan dan kegagalannya yang ini dibacakan di depan khalayak rakyat.
Sebenarnya kegusaran dan rasa ketidakyakinan rakyat telah lama bersarang terhadap kemampuan UMNO sebagai parti pemerintah. Cuma ia tidak dapat dizahirkan secara terang-terang, Dan kini apabila MCA dan UPKO misalnya mendahului tindakan meluahkan ketidakyakinan dan ketidakpuasan, rakyat tentulah semakin berani. Ditambah pula apabila mereka melihat gejolak dalaman sesama sendiri yang berlaku dalam UMNO di Pulau Pinang, Kelantan, Kedah dan Terengganu. Semua ini meninggalkan persoalan kepada pemimpin UMNO sendiri, sama ada parti itu masih kuat dan relevan sehingga ke saat ini.
Kesan gegaran daripada Tsunami 2008 yang berskala besar itu seperti masih melanda UMNO dan BN. Seperti diungkapkan sesetengah pemimpin, UMNO bak kapal yang hampir tenggelam. Semua penumpangnya harus bermuhasabah, sama ada untuk menaiki kapal lain yang disediakan atau setia bersama-sama untuk mati tanpa dapat menamatkan perjuangan.
Benarlah juga bahawa realiti dan mimpi tak pernah bersatu, Ia adalah dua entiti yang berbeza dalam kehidupan, Di segi realitinya UMNO semakin tidak perkasa oleh sebab kegagalan mengawal disiplin di dalam keluarga sendiri. Di segi mimpinya pula, UMNO mesti segera bangun dan membasuh muka kalau mahu bersaing dan mengejar Pakatan Rakyat yang diterajui PAS pada hari ini.
Memanglah apa yang sedang didepani UMNO ini terutama berdepan serangan hak-hak Bumiputera turut dikongsi simpati oleh pemimpin Melayu parti PAS dan PKR misalnya, Namun dalam perjuangan yang masih jauh ini, mereka hanya sekadar simpati kerana masalah yang berlaku, terutama serangan oleh MCA adalah masalah keluarga BN dan UMNO itu sendiri. Cuma UMNO mesti beringat, jika ia sebuah parti yang tidak relevan lagi berdasarkan senario kebelakangan ini, ia mesti reda dan rela melepaskan tanggungjawap itu kepada gabungan parti lain yang mempunyai kekuatan tersendiri.