PEMINAT selebriti antarabangsa di seluruh dunia, dinasihatkan tidak sebarangan melayari laman web atau sebarang laman internet yang memaparkan nama, gambar atau video membabitkan Julia Roberts, Cameron Diaz dan Jessica Biel.
Malah, mereka dinasihatkan juga berwaspada jika ingin melayari laman web menggunakan nama ketiga-tiga artis antarabangsa terbabit terutama jika mahu melihat perkembangan terbaru termasuk memuat turun gambar atau video mereka.
Tindakan menegah daripada melayari laman web yang mempunyai nama selebriti yang dimaksudkan itu dikeluarkan oleh syarikat keselamatan teknologi dan anti-virus McAfee, ekoran taktik beberapa kumpulan penjenayah siber menggunakan tiga nama selebriti terkenal itu bagi tujuan jenayah.
McAfee mendedahkan, penjenayah siber kebelakangan ini menggunakan nama selebriti terbabit secara salah dan meluas, bertujuan mengelirukan peminat mereka menerusi penggunaan perisian palsu dan mencipta laman web perangkap bagi tujuan tertentu, termasuk mengaut keuntungan.
Berdasarkan jumlah kes yang dikesan oleh syarikat anti virus itu, terdapat 12 nama artis antarabangsa, menduduki ranking teratas yang kerap dijadikan umpan oleh penjenayah memperdayakan peminat seni dari merata dunia
"Dalam kebanyakan kes yang dikesan mangsa memang terpedaya. Sebaik sahaja mereka membuka laman web palsu yang mempunyai nama selebriti tertentu, komputer mangsa akan diserang virus yang disebarkan oleh penjenayah siber" peringatan McAfee lagi.
Mengikut ranking, Julia Roberts menduduki tangga teratas dijadikan umpan oleh penjenayah siber dikuti pada tangga kedua ialah Cameron Diaz dan ketiga Jessica Biel.
Menurut McAfee lagi, sebelum ini nama Jessica berada paling atas, tetapi telah berubah sejak beberapa hari ini. Senarai lain mengikut rangking berdasarkan peratus kekerapan digunakan oleh penjenayah siber untuk memperdayakan pengguna internet ialah Gisele Bundchen, Brat Pitt, Adriana Lima dan Jennifer Love Hewitt.
Senarai itu kemudian diikuti oleh nama selebriti seperti Nicoleh Kidmen, Tom Cruise, Heidi Klum, Penelope Cruz dan Anna Paque.