EMPAT remaja keturunan Cina berusia di antara 16 dan 18 tahun ditahan polis dalam satu tindakan pantas bagi membantu siasatan kes simbah cat merah dan membaling botol arak ke surau Taman Pulai Impian, di Seremban hari ini.
Mereka ditahan sepasukan polis yang mendapat maklumat mengenai pembabitan remaja terbabit dalam kes berkenaan.
Ketua Polis Negeri, Datuk Osman Salleh yang mengesahkan penahanan itu dalam satu sidang akhbar sebentar tadi, berkata semua yang ditahan, termasuk seorang suspek yang tidak bekerja dipercayai melakukan perbuatan itu kerana berlaku salah salah faham.
"Sebelum ini berlaku salah faham di antara mereka dengan anggota surau kerana sehari sebelum kejadian mereka diminta tidak bermain mercun di surau berkenaan," katanya,
Barangkali disebabkan ditegah itu, remaja terbabit menyimpan perasaan marah dan akhirnya mereka melakukan sesuatu yang dianggap sebagai perbuatan nakal.
"Ini bukannya sesuatu yang berkaitan perkauman atau perbuatan yang ada kaitan dengan hal-hal keagamaan. Hanya perbuatan nakal remaja yang hanya ditegur jangan bermain mercun di situ," katanya.
Beliau menjangkakan, dengan penahanan keempat-empat remaja terbabit, kes simbah cat dan melontar botol arak ke surau berkenaan dapat diselesaikan.
Dalam kejadian awal pagi kelmarin, pengerusi surau itu, Mohd Hasbi Ismail terkejut mendapati beberapa bahagian dinding surau yang baru sahaja digunakan itu terkena cat merah manakala beberapa botol arak berselerak dipercayai dibaling pihak tertentu.
Berikutan kejadian yang dipercayai berlaku sekitar jam 3.30 hingga 4 pagi itu, Mohd Hasbi membuat laporan polis meminta pihak berkuasa bertindak segera menyiasat.
Berikutan kejadian yang dipercayai berlaku sekitar jam 3.30 hingga 4 pagi itu, Mohd Hasbi membuat laporan polis meminta pihak berkuasa bertindak segera menyiasat.