Perkara pertama bagi panel penyedia soalan undang-undang JPJ ialah bertanya kepada diri masing-masing. Adakah mereka faham, selepas membaca setiap soalan yang disediakan, Jika jawapannya mereka sendiri kurang faham, maka ambillah tindakan memperbetulkan soalan berkenaan. Masudnya, kalau panel sendiri tidak faham, macam mana boleh kita harapkan calon boleh faham.
Bukan apa. Banyak calon ujian undang-undang dikatakan terawang-awang apabila membaca 50 soalan yang mesti dijawab. Ada sesetengah soalan yang dikemukakan, termasuk juga jawapannya, agak berterabur di segi tujuan, maksud dan ketepatan. Barangkali usaha penambahbaikan perlu disegerakan bagi memastikan soalan yang dikemukakan mudah difahami. Ini tidak bermaksud JPJ mesti menyediakan soalan yang mudah. Mudah faham dan soalan mudah, dua perkara yang berbeza.
Seperkara lagi yang sering menjadi pertikaian calon ialah adanya keraguan di segi kesahihan ujian itu dilakukan penuh adil dan tidak wujud unsur-unsur penipuan. Ini kerana ada calon lulusan universiti yang membaca dan cuba memahami silibus yang ditanya berkali-kali, masih gagal. Ada di antara mereka gagal sehingga lima kali. Sedangkan pada masa yang sama, calon yang kefasihannya dalam berbahasa Malaysia amat teruk, boleh lulus sekali. Ini sering ditanyakan calon, terutama yang berkelulusan tinggi tapi masih gagal berkali-kali. Kalau gagal disebabkan mereka tidak mengulangkaji tidak apa. Ini tidak, Mereka berusaha sebaik-baiknya untuk lulus tetapi gagal. Bila ditanya bolehkah dia tahu apa soalan yang salah dijawab. Penyelia ujian akan berkata, tak boleh. Kesalahan dilakukan tidak boleh disemak.
Nampak gaya, ujian undang-undang JPJ terlalu ketat syaratnya. Ujian di universiti dan peringkat SPM atau STPM pun masih ada peluang untuk menyemak dengan membuat permohoan dan bayaran tertentu. Dalam hal ini, Ketua Pengarah JPJ, Tok Solah Mat Hassan mesti segera peka. Ujian undang-undang bertujuan memastikan calon faham. Kalau tidak ditunjukkan mana salah jawapannya, sampai bila mereka boleh faham dan tidak membuat kesalahan berulang.
Kalau kata tak ada unsur rasuah dalam ujian undang-undang, juga bohong. Kalau tak ada masakan sebegitu banyak kes termasuk ditahan SPRM sebelum ini? Kadang-kadang kesian rakyat jelata. Susah sangat untuk mendapatkan sesuatu yang sepatutnya mudah. Semuanya gara-gara sikap pentadbiran JPJ yang masih terkebelakang. Seolah-olah semuanya duduk di zaman perang!