KETIKA Menteri Luar, Anifah Aman menegaskan Malaysia TIDAK akan memohon maaf kepada Indonesia, ekoran penahanan tiga pegawai laut negara itu minggu lalu, penunjuk perasaan di depan Kedutaan Malaysia di Jakarta semakin bertindak liar dengan memijak dan membakar bendera negara ini.
Semakin tercabar dan terhina perasaan rakyat di negara ini, walaupun realitinya isu yang berbangkit sepatutnya dibincangkan mengikut saluran diplomasi di antara kedua-dua negara.
Sidang di Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) negara itu juga semakin panas apabila banyak wakil mereka dari kedua-dua pihak, pembangkang dan kerajaan mendesak Menteri Luar Indonesia, Marta L mengubah sikapnya yang dikatakan terlalu berlembut.
Malah ada di antara mereka mendesak supaya Indonesia memanggil pulang Duta Besarnya di Kuala Lumpur dan menyuruh pulang Duta Malaysia di Jakarta sebagai tanda rakyat negara itu amat memprotes insiden penahanan tiga pegawai lautnya.
Bagaimanakah agaknya akhir jalan cerita tentang pijak, bakar bendera dan baling najis ini. Semakin tegang keadaan di negara itu seolah-olah memberi isyarat semuanya tidak kena dan salah dilakukan oleh Malaysia?
Peliknya ketika penunjuk perasaan di sana melabelkan Malaysia sebagai negara Orang Kaya Baru (OKB) yang angkuh, mereka tidak pula terfikirkan tentang ratusan ribu rakan mereka yang bersenang-lenang berada di negara ini.
Tidak pula mereka terfikir tentang ribuan rakan mereka di sini yang membuat onar melarikan anak dara orang, merompak, mengedar dadah dan terbabit kes bunuh berbunuh sesama sendiri. Mereka nyata memperjuangkan kedaulatan, tetapi pada masa sama adakah mereka sedar mereka sendiri tidak menghormati konsep kedaulatan itu apabila membakar dan memijak bendera negara lain.
Walaupun kerajaan Indonesia memandang sepi tindakan kumpulan menggelarkan diri mereka Bendera ini, namun jika dibiarkan ia boleh menjejaskan keharmonian, apatah lagi keselamatan warga Malaysia yang sedang bekerja, melawat dan belajar di negara itu.
Di mana mahu kita sorokkan muka pada pandangan manusia seluruh dunia tentang gelagat Melayu dari serumpun akar ini?
Di mana mahu kita sorokkan muka pada pandangan manusia seluruh dunia tentang gelagat Melayu dari serumpun akar ini?