SELAMA 10 minit, gambar pakar forensik Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand dikatakan muncul di laman blog rasmi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam keadaan berpakaian seperti Gipsi dan duduk di depan sebiji bola kristal!
SPRM yang terkejut dengan kehadiran gambar pakar forensik itu bertindak mengarahkan pasukan teknikalnya memindahkan gambar berkenaan, tetapi tindakan itu dikatakan telah terlewat kerana banyak pihak menyedari tentang kehadiran luar biasa gambar berkenaan, di laman blog agensi kerajaan itu.
Pengarah Komunikasi Korporat SPRM, Datuk Ahmad Khusairi Yahaya, dipetik berkata sejurus selepas itu, pihaknya dihubungi oleh beberapa portal berita online. Menurutnya, SPRM memaklumkan bahawa pihaknya juga amat terkejut dengan kehadiran gambar itu di laman blog rasmi berkenaan.
Sehubungan itu juga, Ahmad memberitahu bahawa pihaknya akan mengambil tindakan bersesuaian ke atas pihak yang didapati sengaja memasukkan gambar pakar forensik itu yang dipanggil memberi keterangan dalam kes Teoh Beng Hock yang sedang berlangsung.
Beberapa pihak menyifatkan kemasukan gambar Dr Pornthip ke dalam laman blog SPRM itu adalah keterlaluan dan ada juga yang berpandangan SPRM boleh dikenakan tindakan jenayah dan sivil walaupun gambar itu telah dipindah atau dipadamkan.