Elemen kedua muka depan Berita Harian hari ini memaparkan kisah seorang lelaki membakar dirinya gara-gara kehabisan duit loteri hampir RM1 juta yang dimenanginya lima tahun lalu.
Lelaki dikenali sebagai Choo, 63, dari jalan Kuching-Serian itu dipercayai terlalu kecewa kerana sifat borosnya selepas memenangi loteri dan mengambil tindakan mengorek kubur sendiri sebelum menyimbah petrol dan membakar dirinya.
Banyak sisi pengajaran yang boleh dipelajari daripada insiden ini. Pertama, jangan jadikan duit sebagai tuan dan manusia menjadi hambanya sehingga apabila tuan telah tiada akal manusia menjadi kosong dan tidak berfungsi.
Duit juga bukan jaminan segala-galanya dalam mencari kebahagiaan sebenar dalam hidup, malah duit sering menjadi perangkap untuk manusia yang tersilap percaturan.
Allah menguji manusia yang tidak berduit supaya sentiasa bersabar kerana Allah tahu duit bukanlah nyawa, tetapi manusia sering pula berpandangan duit melebihi segala-galanya dan apabila duit telah tiada, nyawa pula dianggap tidak berguna.
Hikmah dijadikan manusia itu miskin dan kaya bertujuan antaranya supaya manusia sentiasa bersyukur dan beringat bahawa sesusah mana sekali pun manusia, masih ada manusia lain yang lebih susah hidupnya.
Tiada istilah duit sejuk dalam kehidupan manusia, tetapi istilah duit panas memang ada sehingga ia boleh membakar diri manusia.