nuffnang ads

Tuesday, August 17, 2010

CERITA SEDIH WOOK MENJELANG AIDILFITRI

Mereka pasangan unik. Si isteri, Mek Wook Kondor berusia 107 tahun, manakala suaminya Mohd Nor Musa berusia 38 tahun. Namun dalam tempoh perkahwinan yang mencecah lima tahun itu Wook berdepan pelbagai dugaan, apabila suaminya sering sahaja ditangkap kerana kesalahan berkaitan dadah.

Pada 7 Julai 2009, Mohd Nor ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) mengikut seksyen 8(3)(a) Akta Penagihan Dadah, Rawatan dan Pemulihan (Pindaan 1998) dan dimasukkan ke Puspen Sungai Besi sebelum ditempatkan semula ke Puspen Besut, Terengganu pada 31 Disember tahun lalu. Mohd Nor dibebaskan pada 15 Julai lalu.

Ketika dibebaskan, Mohd Nor berjanji tidak akan mengulangi perangai lama dan berusaha untuk menjaga isteri kesayangannya itu. Malah Mohd Nor mengakui amat menyayangi Wook kerana tabah berdepan cabaran sepanjang dia ditahan menjalani rawatan pemulihan.

Sinar di wajah Wook juga semakin bercahaya. Ada harapan untuk  dia bermanja dengan suami ke 22nya itu selepas terpisah lebih setahun. 

 Bagaimanapun, kasih Wook pada Mohd Nor diuji lagi. Minggu lalu, Mohd Nor ditahan lagi kerana kesalahan serupa. Luluh hati Wook pada mulanya. Dia tidak menyangka suaminya sanggup mengulangi perangai buruknya mengambil dadah walaupun baru dibebaskan.

Bila Mohd Nor dibebaskan 15 Julai lalu, Wook dapat membayangkan betapa hari raya tahun ini dia dapat meraikannya bersama suaminya itu. Namun impiannya dicincang oleh dukacita. Penahanan Mohd Nor merentap segala harapan Wook. Lumat hatinya apabila terfikir yang mereka akan terpisah semula. Mohd Nor yang kini dijamin selepas direman akan memulakan rawatan pemulihan pada hari ini. Maknanya, Wook akan berpisah dengan Mohd Nor hari ini.

Kini Wook terpaksa memujuk hatinya tabah berdepan dugaan ini. Dia telah menggunakan RM2,000 daripada wang simpanannya untuk menjamin Mohd Nor. Hari ini dia akan berpisah dengan Mohd Nor. Suaminya itu akan ditempatkan di Pusat Khidmat AADK daerah selama dua bulan.

Selama dua bulan juga Wook akan kembali diburu rindu. Direntasnya kehidupan ini dengan beberapa babak cerita yang hanya Wook sahaja yang tahu. Tentang Aidiklfitri yang akan menjelang, tentu ada air mata Wook akan mengalir menyusur cengkung di antara tulang rahangnya, sebelum menakung di bucu bibir, mengenang suami tercinta tiada di sisi. Sabarlah Wook.

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENERIMA SESUATU DARIPADA DATUK BANDAR SHAH ALAM, DATUK MAZALAN MD NOOR 10.10.10