DIKISAHKAN BENAR DAN TELAH BERLAKU. Cerita seorang wartawan pembohong dengan berita palsunya sehingga berjaya menggeletek perut dan gusi pembaca.
Walaupun telah lama terjadi di negara kita, tetapi tidak mustahil berulang demi duit dan kepentingan sendiri.
Alkisah (bukan altantunya) ditulislah wartawan itu berita tentang seekor kucing dan lelaki berkain pelikat. Pada satu tengah hari, seorang lelaki berkain pelikat sedang tidur tanpa memakai seluar dalam. Sekonyong-konyong tanpa ada ribut, mata kucing kesayangannya terpandanglah pada kain yang bergerak-gerak di celah paha lelaki itu.
Entah dek kerana lapar atau sifat kucing yang suka menerkam, diterkam dan digigitnyalah benda pada kain pelikat yang bergerak-gerak itu. Maka terbangun menjeritlah lelaki itu kesakitan kerana benda yang bergerak-gerak itu adalah anunya yang bangun tanpa jadual.
Ditulislah wartawan penipu itu sedemikian molek ceritanya. Tersiarlah ia dalam akhbar dan tergelak seminggu tanpa hentilah pembaca digeletak kegelian hatinya.
Tidak puas begitu, ditulisnya juga satu berita lain tentang seorang wanita India berpakaian sari menaiki escalator di pusat membeli-belah. Entah apalah nasib wanita itu, sarinya tersangkut dan sukarlah dia menariknya sehinggalah sari itu terburai habis semuanya. Maka terlihatlah sekelian orang tentang tubuh wanita itu kerana sarinya dibuka secara paksa oleh escalator yang tiba-tiba sahaja naik nafsu.
Disiarkan juga berita ini dalam akhbar dulu. Maka gelaklah juga pembaca sekelian sehingga terlupalah sedih hiba mereka terhadap soal-soal kemiskinan dan kemelaratan hidup di bumi Malaysia.
Maka awaslah pembaca, bahawa setiap berita yang disogokkan secara penuh goda dan rayu-rayuan, belum tentu ada benarnya kerana wartawan itu juga adalah manusia yang mempunyai sifat ada di antaranya suka berpilih dan berpuak atas nama periuk nasi dan duit!