BESAR CITA-CITA kerajaan BN nak bina kononnya satu balai bomba bagi setiap kawasan parlimen di seluruh negara. Besar dan berdengung-dengung cakapnya macam tong kosong dipukul bertalu-talu. Berdengung-dengung, tapi habuk pun tak ada.
Tak percaya? Tengoklah papan tanda cadangan membina balai bomba di Kota Kemuning, Shah Alam yang kini dikelilingi hutan belantara sejak lebih 10 tahun lalu.
Kalau ikutkan kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Chor Chee Heung, cadangan itu macam bagus sangat. Tapi bagus nak menipu rakyat lagi.
Ketika melawat Sabah semalam, Chor berkata kerajaan akan membina sebuah balai bomba di setiap kawasan parlimen di negara ini. Katanya, ia bertujuan memenuhi keperluan rakyat.
Chor sepatutnya memberitahu bosnya Najib yang cadangan kalau setakat pasang papan tanda, kemudian tinggalkan macam itu sahaja dah jadi taktik lama BN. Rakyat dah tahu dan dah muak. Modus operandi menipu rakyat kononnya mementingkan pembangunan dengan memasang papan tanda lebih baik dihentikan sahaja.
Duit daripada tender buat papan tanda cadangan balai bomba itu lebih baik digunakan untuk membeli beras dan disedekahkan kepada orang miskin.