PELIK JUGA. Pelajar yang berada di luar negara pula jadi sasaran. UMNO dikatakan sedang menyiapkan pelan strategik menerusi Biro UMNO di luar negara bertujuan mengenalpasti dan memantau kenapa ada pelajar di sana cenderung tidak menyokong kerajaan.
Nampaknya UMNO semakin kalut mahu menjadi polis politik yang mahu mengawasi dan mengambil tahu pendirian politik pelajar di luar negara terhadap kerajaan. Pengakuan Ahmad Shabery Cheek yang mengesahkan pelan strategik itu telah diatur menunjukkan juga UMNO kini semakin terdesak mahu memastikan sokongan pelajar terhadap parti itu tidak terus pupus. Tanpa segan-silu UMNO mengambil pendekatan mengenakan tekanan psikologi walaupun tahu tindakan itu bakal mengundang rasa ketidakpuasan hati banyak pihak. Dalam erti kata lain, politik yang dimainkan oleh UMNO kini semakin tidak bermaruah.
Persoalannya kini kenapakah UMNO sedemikian terdesak mengambil pendekatan mengongkong pelajar di luar negara sedangkan pelbagai masalah yang melibatkan pelajar di dalam negara masih belum usai dan terlaksana. Sepatutnya sebagai sebuah parti yang telah tua, UMNO bersikap berkecuali. Kalau sungguh pun begitu risau dan terdesak berikutan kemerosotan sokongan golongan muda yang cerdik, pertanyaannya, berjayakah UMNO menuai hasilnya daripada tindakan itu?
Apa yang dibimbangkan ialah perbuatan UMNO memantau pendirian politik itu akan menyebabkan pelajar di luar negara semakin tidak selesa kerana berasa seolah-olah terkongkong dalam pergerakan atau kehidupan mereka sehari-hari. Bagaimana pula nasib pelajar yang tidak mempunyai pendirian atau yang tidak mahu mencampuri urusan politik? Apakah mereka senang menerma tindak-tanduk UMNO itu?
UMNO mesti menghentikan segera kerja gila itu sebagai satu cara untuk membuktikan ia adalah sebuah parti yang masih mempunyai maruah.