CATATAN INI DITAJA OLEH KUMPULAN ORANG KERTAS MELAYU TULEN SDN BHD
Kegagalan untuk berpaling dan menoleh seketika untuk membaca arah datang dan jalan pulang, dikatakan banyak menyumbang kepada kecacatan dalam perjuangan UMNO hari ini, berbanding saat-saat parti itu berjuang mendapatkan kemerdekaan, selepas terjajah sekian lama.
Kegagalan demi kegagalan terutama untuk memperbaiki kedudukan tahap ekonomi orang Melayu menjadi momok yang dibimbangi banyak pihak, terutama selepas tamatnya Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang menyaksikan impian untuk mencapai 30 peratus ekuiti orang Melayu dalam pengagihan kek ekonomi negara ini kecundang. Dengan hanya mendapat sekitar 18 peratus ekuiti selepas tempoh itu, orang Melayu mulai berani membuka mulut untuk mencela dan mencerca pemimpin UMNO.
Mereka berpandapat tempoh berpuluh tahun yang diberikan kepada UMNO untuk merancang dan melaksanakan apa sahaja dasar lebih daripada mencukupi, namun sikap sebahagian besar pemimpin Melayu yang enggan menerima kegagalan itu amat mendukacitakan. Malah, mereka menuding jari kegagalan itu kepada banyak faktor, termasuk menyalahkan kegagalan itu juga berpunca daripada orang Melayu sendiri.
Sikap orang Melayu kononnya sering mengalibabakan perniagaan yang diberi, sikap kononnya orang Melayu malas dan kurang menunjukkan sikap bersaing yang tinggi dalam dunia perniagaan dijadikan alasan kenapa banyak dasar kerajaan untuk membantu rakyat sentiasa gagal. Malah, dibuktikan juga menerusi statistik dan angka mengenai peruntukan dan bantuan yang telah disalurkan. Dibuktikan juga senarai sebegitu banyak agensi yang ditubuhkan untuk membantu orang Melayu seperti Mara, Felda, Felcra dan institusi kemahiran, namun pemimpin UMNO mendakwa orang Melayu sendiri gagal memanfaatkanya.
Maka apabila orang Melayu mulai bising dan mula menunjukkan protes terhadap apa yang mereka katakan sebagai kegagalan UMNO selama ini, pemimpin-pemimpin UMNO mentafsirkannya sebagai tindakan tidak betul dan mendakwa orang Melayu telah mula lupa diri dan membiarkan diri mereka dipengaruhi parti pembangkang yang sengaja mahu mengambil kesempatan. Protes dan kritikan orang Melayu terhadap UMNO dilihat menerus sisi tafsiran yang silap oleh pemimpin UMNO berkenaan. Orang Melayu yang bersuara dan menentang malah disifatkan pula sebagai golongan yang tidak tahu mengenang budi. Maka kebanyakan pemimpin UMNO terus berkokok tidak mahu menerima kritikan sebaliknya berselindung di belakang tabir sejarah masa lampau kononnya parti itu telah berbuat apa sahaja termasuk berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan negara ini.
Masalah pokok orang Melayu yang tidak berpuas hati dengan prestasi UMNO berjuang menaikkan tahap ekonomi orang Melayu sejak merdeka sehingga kini, dijawab dengan buaian kenangan dan sejarah masa lampau tanpa noktah. Tanpa UMNO terfikir bahawa orang Melayu yang turut berjuang memerdekakan Malaysia dulu pada hakikatnya TIDAK SEMUANYA adalah orang UMNO. UMNO terlupa, sebahagian orang Melayu yang bersama pemimpin parti itu memperjuangkan kemerdekaan, adalah orang Melayu yang belum berparti dan golongan yang duduk di atas pagar.
Selagi pemimpin UMNO tidak mahu sedar kelemahan mereka yang amat besar, iaitu kegagalan menaikkan ekonomi orang Melayu dan mengagihkan kekayaan secara adil selagi itulah orang Melayu akan terus menolak dan memprotes. UMNO mesti membuka mata bahawa parti itu pada REALITINYA tidak sepenuhnya MEMBANTU ORANG MELAYU. Parti itu hanya membantu sebegitu banyaknya orang UMNO sahaja. Inilah antara maksud kemarahan orang Melayu yang telah mulai marak sejak kebelakangan ini. Pemimpin UMNO mesti bertanya, siapakah ahli perniagaan Melayu yang dikatakan banyak itu? Daripada manakah dan bagaimanakah mereka memperolehi peluang untuk menjadi ahli perniagaan. Pemimpin UMNO mesti sedar hal ini, kerana orang Melayu akar umbi tahu semua yang berjaya itu adalah orang UMNO dan mereka memperolehi kesenangan dalam perniagaan dengan menjadikan UMNO sebagai kuda tunggangan. Ini dilihat oleh orang Melayu sebagai satu cara yang amat keji dan buruk yang dilakukan oleh orang UMNO dengan keizinan pemimpin UMNO sendiri.
Lihatlah pemimpin UMNO cawangan dan bahagian, malah sebahagiannya tidak mempunyai pendidikan akdemik yang tinggi, tetapi menjadi mewah kerana menjadi kroni pemimpin UMNO peringkat atasan dengan memperolehi projek sebegitu lumayan. Maka, dengan kemewahan diperolehi itu mereka menunjukkan betapa gaya hidup terus berubah dengan menaiki kereta mewah dan membina banglo di luar kemampuan. Orang Melayu yang tidak menjadi ahli UMNO dan orang Melayu UMNO yang menjadi ahli biasa tetapi dipinggirkan ada hak untuk berasa cemburu kerana kemewahan yang diperolehi itu bukan didapati secara sihat. Bukan diperolehi menerusi kemahiran tetapi kebodekan dan kekronian. Maka apabila sebahagian banyak projek disalurkan UMNO disambar oleh pemimpin pertengahan UMNO yang kemudian diagihkan pula kepada kroni mereka, tiada apa lagi yang tinggal untuk orang Melayu di hulu-hulu. Kalau ada pun hanyalah sebatang dua tulang yang telah kering dan busuk!
Orang Melayu hari ini tidak mahu mendengar gurindam pemimpin UMNO bercerita dengan bangganya telah membina jalan raya, lebuh raya, sekolah, projek api, projek air dan apa bagai sekali pun kerana bagi orang Melayu sekarang perkara paling utama ialah mereka mahukan hak mereka. Gurindam lagu lapuk itu tak perlu didendangkan lagi. Orang Melayu tahu, apa jenis parti yang memerintah pun mesti menyediakan itu semua untuk rakyatnya, hatta parti komunis sekalipun. Orang Melayu mahu haknya, terutama peningkatan di segi ekonomi. Orang Melayu tidak mahu berasa seperti dipinggirkan di negara sendiri yang ditadbir oleh orang Melayu sendiri. Orang Melayu juga mahu semua peruntukan dan bantuan mesti sampai kepada orang Melayu dan bukannya kepada orang UMNO. Dan hal yang paling penting yang mesti disedari oleh pemimpin UMNO ialah, bukan semua orang Melayu adalah UMNO! Dan bukan semua orang Melayu yang bukan UMNO menentang kerajaan. Namun, keadaan semakin berubah kerana mereka yang selama ini bukan UMNO dan tidak menentang UMNO turut menjadi mangsa oleh sikap gagal membantu parti itu kepada orang Melayu. Maka, bersedialah UMNO. Sama ada mahu menoleh arah datang atau terus dipejamkan mata daripada memikul tugas menjadi sebuah kerajaan!
Pemimpin UMNO terlupa, setiap protes orang Melayu terhadap banyak perkara berkaitan kepentingan orang Melayu, sebenarnya akan diwarisi turun temurun. Jumlah mereka akan semakin banyak kerana protes terhadap kegagalan UMNO berjuang membantu orang Melayu akan diwarisi dari datuk kepada ayah, dari ayah kepada anak, dari anak turun seterusnya ke generasi berikutnya.Maknanya, sehari selembar, setahun akan menjadi kain yang akan dijadikan bendera tertulis KAMI BENCI UMNO!