nuffnang ads

Sunday, August 22, 2010

APALAH MAKNANYA RAYA LAGI?

DI MANA silapnya? Setiap kali menjelang Aidilfitri orang Melayu akan mati bergelimpangan di jalan raya kerana kemalangan. Menjelang Aidilfitri juga, banyak anak-anak orang Melayu putus jari, buta sebelah mata dan terburai perut. Anak Orang Melayu akan mati kerana memburu keghairahan menyambut raya. Dan trend itu seakan tiada hentinya, Kematian dan kecederaan parah angkara kemalangan dan kegilaan bermain mercun, semacam menjadi rukun setiap kali menyambut raya. Maknanya, kalau tak dibuat rukun itu, tak sah pula agaknya raya bagi orang Melayu @ orang Islam. Tak meriah agaknya Aidilfitri mereka.
  
Dan trend menyedihkan itu berulang lagi semalam tengah hari apabila satu tragedi meragut nyawa seorang kanak-kanak berusia 6 tahun berlaku di Kampung Losong Zin, Terengganu. Tubuh Khairul Arif Ayob, pelajar tadika dikatakan melambung kira-kira 15 meter dan mayatnya tersangkut di atas pokok. Dua remaja yang lain pula, berusia awal 20-an, parah di beberapa bahagian badan apabila sebuah rumah yang dijadikan stor menyimpan mercun meletup. Akibatnya, rumah itu musnah sama sekali, menyebabkan gegaran terlalu kuat. Memang sedih mendengar tragedi sebegini.

Ketika ini, apalah maknanya lagi Aidilfitri buat keluarga yang terlibat. Keriangan telah bertukar sedih hiba yang sarat dengan kesalan tak terungkap. Masa yang lepas tak boleh dikembalikan semula. Nyawa tak mungkin ditebus biarpun menangis sehingga air mata darah sekali pun.
  
Dan seluruh umat Islam di seluruh negara pasti mendengar tragedi ini dengan hati yang amat sayu. Namun adakah itu akan memberi jaminan, tragedi demi tragedi tidak akan berulang setiap kali orang Melayu menunggu Aidilfitri menjelang. Jari jemari kita mahu menuding ke arah mana? Ke arah mana mahu kita tudingkan kesalahan setiap kali tragedi berlaku. Kemalangan maut di jalan raya dan tragedi ajal di tangan mercun adalah sesuatu yang mulai menjadi budaya dalam kehidupan kita.

Apakah ketegasan dalam mengawal lalu lintas ketika pulang berhari raya belum mencukupi untuk mengatasi angka kematian yang sentiasa meningkat setiap tahun? Apakah orang Melayu semakin hilang pertimbangan, fikiran dan akal apabila berada di jalan raya setiap kali pulang menyambut Aidilfitri? Apakah penguatkuasaan dan undang-undang yang ada bagi mengawal dan mengawasi penjualan mercun di negara ini belum cukup berkesan? Atau apakah mercun akan terus menjadi mainan di kalangan orang Melayu sehingga kiamat, walaupun kita sedar ia boleh meragut nyawa semakin ramai umat Islam menjelang raya? 

Entahlah. Hari ini baru reda sedikit air mata menangis, tapi esok lusa dan tulat kita sambung bersedih lagi!

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENERIMA SESUATU DARIPADA DATUK BANDAR SHAH ALAM, DATUK MAZALAN MD NOOR 10.10.10