KENANGAN TRAGEDI Bright Sparkles, kilang haram membuat mercun di Sungai Buloh, Selangor yang meletup dan membunuh 21 orang serta mencederakan lebih 80 yang lain hampir 20 tahun lalu tiba-tiba sahaja menghantui kotak ingatan.
Semua ini gara-gara tragedi 'Mini Bright Sparkles' yang berlaku di Kg Seberang Baruh, Kuala Terengganu, kelmarin yang turut mengorbankan seorang kanak-kanak, Khairul Arif Ayob, 6 tahun, dan mencederakan dua remaja lain apabila sebuah rumah dipercayai stor menyimpan mercun meletup.
Tragedi Bright Sparkles tentunya menjadi rekod dan diingati ramai kerana kejadian pada 7 Mei 1991, lewat petang Selasa itu menyebabkan semua pihak tertanya-tanya bagaimana sebuah kilang mercun yang beroperasi tanpa lesen sejak sekian lama boleh dibenarkan beroperasi.
Kejadian itu juga adalah antara berita utama yang menyambut kelahiran Harian Metro yang kebetulan baru hanya lebih sebulan ditubuhkan oleh Berita Harian Sdn Bhd dan menyebabkan semua tenaga kerja akhbar itu ditugaskan mengutip berita di celah mayat, debu dan persoalan tentang tanggungjawab pihak berkuasa dalam melaksanakan tugas diamanahkan!
Letupan dan asap boleh didengar dan dilihat sejauh lebih 10 kilometer dari tempat kejadian. Keadaan ketika itu amat kecoh, suara siren bomba dan siren ambulans berlawan-berlawan di tengah hiruk pikuk dan tangisan serta raungan mangsa yang tercedera. Malah dalam kejadian itu seorang ahli kimia warga Hong Kong yang menjadi dalang utama pengeluaran mercun turut terbunuh, apabila kebanyakan mercun yang disimpan di stor bawah tanah meletup dan menghasilkan bunyi seperti bom berkuasa tinggi.
Kini selepas hampir 20 tahun, kita masih belum belajar daripada sejarah hitam Bright Sparkles itu. Entah berapa kali polis menahan pemandu memenuhi bonet kereta mereka dengan mercun dan entah berapa banyak premis diserbu kerana menjadi gudang menyimpan benda haram itu.
Tragedi menimpa Khairul Arif diharapkan biarlah yang terakhir menimpa rakyat negara ini dan diharapkan orang Melayu dan umat Islam belajar daripada sejarah Bright Sparkles yang meragut begitu banyak nyawa selain tragedi besar seperti tragedi tanah runtuh di Highland Towers di Hulu Klang.
Jadikanlah perayaan menyambut setiap kali Aidilfitri menjelang, sebagai perayaan yang meninggalkan kenangan manis dan bukannya meningalkan kenangan pahit atau meninggalkan parut pada seluruh badan!
Jadikanlah perayaan menyambut setiap kali Aidilfitri menjelang, sebagai perayaan yang meninggalkan kenangan manis dan bukannya meningalkan kenangan pahit atau meninggalkan parut pada seluruh badan!