nuffnang ads

Friday, July 2, 2010

TULIS BERITA

Pertemuan dijangka sekitar jam 4 petang, tetapi terlewat sedikit. Datuk Zaman Khan mempunyai banyak urusan yang mesti diselesaikan. Akhirnya selepas kelapangan, beliau menghantar pegawainya mengiringi saya dan teman jurugambar dari pintu masuk penjara Pudu terus ke pejabatnya.

Ketika itu, Datuk Zaman adalah Ketua Pengarah Penjara. Berjalan masuk dalam kurungan batu dan besi, mata saya meliar ke kiri dan ke kanan. Ketika itu sayu ada, gelak ada dan simpati pun ada. Berselisih dengan beberapa banduan yang entah atas apa kesalahan mereka diberi peluang menginap di hotel budget itu, saya tidak tahu. Namun ada dii antara mereka seolah-olah menagih simpati sebaik melihat kawan saya mengendong kamera. Saya pasti banduan-banduan itu tahu kami adalah petugas dari media.

Ketika itu juga, entah kenapa terlalu banyak kali pula saya terdengar bunyi pintu jeriji sel seperti dibuka dan ditutup. Puas saya memerhatikan, meliarkan mata ke kiri ke kanan. Tidak nampak pula ada sel yang terbuka. saya diam dan terus dibawa pegawai berjumpa Zaman Khan.

Diberikan minuman petang dan sedikit kuih muih, kami mula berbicara, mulanya berkisar soal biasa dan akhirnya terus ke pokok pertemuan. Iaitu bertanyakan hal Mona Fandey dan suaminya Affendi Abdul Rahman.

Zaman Khan mengerutkan kepalanya. Saya beritahu, lebih elok dia sendiri yang jelaskan keadaan sebenar sebab terlalu banyak orang bermulut gatal yang mendakwa, Mona Fandey boleh menghilangkan diri dari penjara. Hal ini menyebabkan pembaca media Melayu asyik menyibuk. Ada yang kata, untunglah masuk penjara kalau boleh hilang-hilangkan diri. Zaman Khan tergelak akhirnya. Memang tidak logik pun jika diikut akal yang diberikan Allah. Dia mengesahkan cerita-cerita "senapang angin' itu tidak benar dan tidak ada maklumat diperolehinya berkaitan hal itu ketika itu. Akhirnya kami tergelak dan tidak sedar pertemuan melebihi dua jam.

Habis bercerita soal itu, Zaman mengajak saya mengimbau masa lalunya sebagai bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah PDRM. Saya mendengar penuh seronok bukan kerana apa, tetapi kerana pengalaman itu berguna kerana datang terus dari seorang bekas pengarah CID. Antara cerita Zaman, pernah seorang lelaki cuba membunuh diri terjun dari bangunan tinggi. Tapi berkat kesabarannya memujuk, lelaki itu tidak jadi membunuh diri dan Zaman bersedia menganggap lelaki itu sebagai adik angkatnya.

Menemubual Zaman di dalam penjara Pudu kini menjadi satu nostalgia. Sedih dan sayu. Bukan kerana apa. Tapak dan sebahagian besar penjara berusia lebih 100 tahun itu telah dirobohkan atas nama pembangunan. Lebih 2 jam bersama Zaman, khasnya di dalam penjara Pudu saya bawa nostalgia itu sebagai sebahagian daripada bab kehidupan yang tak boleh dilupakan.

Bakal-bakal wartawan barangkali tentu seronok mahu melalui pengalaman seperti ini. Namun bukan mudah mendapat peluang menjalankan tugasan berat dan penuh 'pancaroba' ini andai anda tidak membuktikan kesungguhan dan bakat anda apabila diberi peluang menjadi wartawan nanti.

Persediaan untuk bertanyakan sesuatu isu secara mendalam dan dapat mencungkil pelbagai cerita di sebalik cerita akan menjadikan anda wartawan yang mampu bersaing dan menjadi aset penting dalam organisasi yang diwakili.

Untuk rekod, Zaman Khan adalah antara orang penting di sebalik beberapa kes besar seperti Bentong Kali, Mona Fandey dan terbabit dalam operasi menangani kejadian runtuhan Highlanda Towers yang banyak mengorbankan nyawa.

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENERIMA SESUATU DARIPADA DATUK BANDAR SHAH ALAM, DATUK MAZALAN MD NOOR 10.10.10