nuffnang ads

Saturday, July 3, 2010

12 TAHUN TANPA LESEN. BARU TAHU?

Selepas bertahun-tahun, itupun selepas petaka berlaku, barulah diketahui bahawa Rumah Titian Kasih yang beroperasi memberi perlindungan kepada lebih 70 penghuninya di Kuala Lumpur, rupanya tidak memiliki lesen sejak 12 tahun lalu.

Menteri Wanita, Keluaraga dan Pembangunan Masyarakat, Datuk Seri Sharizat Abdul Jalil ketika mengesahkan perkara itu "tanpa segan" memberitahu bahawa rumah perlindungan itu seharusnya mendapatkan lesen terlebih dulu sebelum ia boleh menerima sebarang bantuan daripada kerajaan.

Kenapa saya katakan "tanpa segan" adalah kerana membiarkan sebuah rumah perlindungan beroperasi tanpa lesen sejak sekian lama menggambarkan cara kerja, mentaliti dan corak pengurusan pegawai yang bertugas di bawah kementerian berkenaan.

Adalah mustahil, sebuah rumah perlindungan yang tidak boleh ditutup dengan kain selimut atau dighaibkan dengan cara mistik sukar dikesan pendaftarannya jika pegawai kementerian turun padang dari semasa ke semasa. Ini amat memualkan kerana ia mengambil tempoh 12 tahun baru dapat dikesan atau dimaklumkan rumah itu beroperasi tanpa lesen.

Persoalannya, bagaimana dengan kewujudan rumah perlindungan lain yang dikatakan mencecah ribuan banyaknya di seluruh negara. Apakah semua itu berdaftar? Sharizat harus menerima kenyataan bahawa sesetengah pegawai daripada sesetengah agensi kerajaan memang demikian cara kerja mereka. Kalau sudah dilaporkan media, barulah bergegas meninggalkan kerusi dan bilik hawa dingin untuk turun ke padang. Hakikatnya, pengurusan lemah dan amat memualkan ini sangat-sangat dibenci oleh rakyat dan itu adalah antara punca kenapa kerajaan sering sahaja tidak disukai oleh pengundi!

Hal yang sama juga mesti diberi perhatian kepada masalah orang miskin dan yang amat-amat memerlukan bantuan. Saya sudah boleh jangkakan jawapannnya jika hal ini ditanyakan kepada menteri. Menteri akan berkata, masyarakat dan orang ramai mesti menjadi "mata" dan "telinga" memaklumkan kementerian sebarang masalah dihadapi rakyat yang daif.

Memang benar, pada satu sisi rakyat boleh menjadi mata dan telinga kerajaan atau kementerian tapi pada sisi lain, adilkah membiarkan mata dan telinga pegawai dan kakitangan kementerian menjadi tertutup dan bisu. Hanya akan bertindak dan gopoh-gapah apabila ada maklumat rakyat dan laporan media.

Bukan bertujuan membasuh muka kementerian di tengah jalan, tapi realiti hari ini ialah kementerian bertanggungjawab bukan sahaja menjalankan kerja secara berpeluh dan berkeringat, tapi pada masa yang sama menjaga imej kerajaan yang mentadbir negara. Sedikit kesilapan atau kealpaan kementerian akan bertukar kepada kebencian rakyat dan ini boleh diterjemah dalam bentuk undi apabila berlaku pilihanraya.

Jika pandangan ini dianggap tidak benar, tunggu dan himpunkan lebih banyak kealpaan dan kelalaian agensi kerajaan. Kemudian kita timbang berapa harga yang akan kita dapat pada pilihanraya nanti!

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENERIMA SESUATU DARIPADA DATUK BANDAR SHAH ALAM, DATUK MAZALAN MD NOOR 10.10.10