nuffnang ads

Friday, July 2, 2010

LALAT DI KANTIN KAMPUS UiTM KUALA PILAH

Rabu lalu menghantar anak bertukar kampus ke cawangan UiTM Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Kampus baru yang terletak di tengah kawasan bukit dan perkampungan, masih dibalut kehijauan sekitarnya. Pohon-pohon hutan dan bentangan ladang sawit dan pokok buah-buahan menjadikan kampus ini hijau dan mengasyikkan.

Pertama hijau dan dingin. Kedua, sekurang-kurangnya pelajar yang berpindah dari kampus Alamanda, di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur tidak lagi terlalu terdedah kepada godaan hiburan kota dan lambakan pusat beli-belah yang saban waktu menangguk duit dari saku anak-anak.

Tabik pada Uitm di atas pembinaan cawangan baru itu. Cuma saya terharu dan sedih dengan masalah yang dihadapi pelajar di kampus baru itu. Kantin mereka penuh lalat, menghitam dan kadang-kala membentuk seakan pulau yang menjijikkan. Tidak pelajar sahaja ditimpa bala. Penduduk Kampung Beting, hanya beberapa meter dari kampus itu juga dihadiahkan bencana serupa.

Hampir semua kedai makan didatangi kumpulan lalat yang mahu makan tanpa membayar. Mahu minum tanpa membayar tetapi suka-suka berkongsi dengan pinggan dan cawan pelanggan! Semua ini membuat penduduk dan pelajar terdesak, merusuh hati!

Saya diberitahu semua itu berpunca daripada ladang ternakan ayam tidak jauh dari kampung berkenaan. Tidak jauh juga daripada kediaman menantu salah seorang bekas perdana menteri kita. Barangkali menantu perdana menteri itu boleh menggunakan sedikit dehemnya menakutkan penternak ayam supaya turut menimbang kebencian penduduk, setiap kali dia menimbang keuntungan jualan ayamnya.

Kalau tak faham maksud deheman, saya mohon batuklah sikit. Tak boleh juga, sergah saja. Kalau tak boleh juga, bimbang-bimbang penduduk akan mengambil tindakan sendiri seperti kejadian sebelum itu. Saya diberitahu sebelum ini ladang ternakan itu pernah terbakar. Saya tertanya-tanya juga. Terbakar atau dibakar?!

Apa pun hal yang paling penting ialah jagailah kepentingan orang kampung dan pelajar Uitm sekali. Bukankah 1Malaysia turut bermaksud menghormati bangsa lain?!

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENERIMA SESUATU DARIPADA DATUK BANDAR SHAH ALAM, DATUK MAZALAN MD NOOR 10.10.10