nuffnang ads

Thursday, July 8, 2010

TAK SEMUA KAKITANGAN AWAM SOKONG BN

Di dalam kerajaan memerintah, lebih tepat kerajaan Barisan Nasional (BN) ada pegawai dan kakitangannya sendiri tidak menyokong parti itu setiap kali pilihanraya berlangsung, walaupun hakikatnya mereka adalah pelaksana dasar yang dibayar imbuhan oleh kerajaan setiap bulan. Atau dengan kata lain adalah soldadu yang mesti menurut perintah. Ini benar dan bukan fitnah. Ia jelas dan bukan berita yang direka-reka.

Sikap penentangan yang hanya ditunjukkan secara diam dalam bentuk undi ini, sudah tentu menjadi duri dalam daging keada BN. Selain sukar untuk dibuktikan secara peribadi siapa yang terlibat, kerajaan juga belum tentu dapat mengambil tindakan tepat bagi menangani fenomena "musuh dalam selimut" ini.

Bukti memang nyata wujudnya kelompok yang menentang kerajaan, terutama kalau dilihat sentiasa ada pengundi pos di kalangan polis dan tentera yang mengundi pembangkang dalam beberapa pilihanraya sebelum ini. Itu belum lagi dikira golongan guru, profesional lain seperti doktor, arkitek dan jurutera. Belum juga dikira pensyarah institusi pengajian tinggi.

Saya tidak bermaksud untuk menyalahkan kelompok yang menentang kerajaan menerusi undi pilihanraya ini, malah jauh sekali untuk bersimpati dengan kerajaan yang terpaksa berdepan "serangan" dari dalam kelambu sendiri. Ini kerana berpegang pada prinsip demokrasi, hak untuk tidak patuh pada pemerintah yang diterjemahkan dalam bentuk pemberian undi kepada parti lawan perlu dihormati.

Hal wujudnya kelompok kakitangan dan pegawai awam yang enggan menyokong BN dalam pilihanraya sengaja saya catatkan sebagai membuka mata semua pihak bahawa parti pemerintah pada hari ini tidak memiliki sebarang keistimewaan sebenarnya. Malah, selain musuh dalam selimut mereka juga terpaksa berdepan serangan dan penentangan parti pembangkang. Mereka yang bekerja dalam sektor swasta, termasuk golongan muda pula khususnya dikatakan belum ramai dapat ditarik menyertai BN mengakibatkan BN ada sebab untuk gusar.

Kematangan cara fikir rakyat yang dikatakan mula berubah dan tidak takutkan perubahan berbanding mentaliti rakyat sekitar 70-an dan 80-an ini, menjadikan BN sememangnya cemas setiap kali mahu membuka cerita tentang pilihanraya.

Apa yang membebankan lagi ialah belum tentu masalah parti komponen mereka telah sempurna semuanya. Debus-debus sentiasa ada kedengaran tetapi cuba sedaya upaya disembunyikan.
Maka, mengambil sedikit daripada kekacauan yang sedang melanda kedudukan semasa BN, saya terpaksa mengiyakan juga kata-kata beberapa singalaut yang baru pulang dari menyelam di Tanjung Tuan bahawa tidak mustahil uar-uar pilihanraya umum ke 13 akan disegerakan, tidak akan menjadi kenyataan. Banyak lagi yang belum usai, banyak lagi yang belum langsai.

DEBUS-DEBUS SINGALAUT MEMBELAH OMBAK: Bukan musuh saja ada dalam selimut, buaya dan ikan puyu pun ada di dalam laut!

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENERIMA SESUATU DARIPADA DATUK BANDAR SHAH ALAM, DATUK MAZALAN MD NOOR 10.10.10