nuffnang ads

Wednesday, July 7, 2010

SEMAN DATANG LAGI

Seman datang lagi. Dia merungut lagi fasal gula dan beras. Riak muka Seman bak kelawar tersangkut di jaring. Kata Seman, kerajaan tak bolehkah beri tumpuan untuk hasilkan barangan keperluan rakyat seperti gula dan beras daripada asyik mengimportnya dari negara luar. Seman hentak-hentakkan kaki mahu saya menjawabnya tetapi saya buat tidak peduli kerana saya mahu dia berceloteh lebih panjang masalah yang selalu sangat diusungnya keliling kampung itu.

Seman buat pula muka macam tupai jatuh ke tanah. Mahu tak mahu dia terpaksa menyambung ceritanya. Katanya, kalaulah satu hari nanti ditakdirkan negara luar tak mahu menjual barangan mereka kepada kita, atau kalau menjualnya pun pada harga mahal, tentu kita jadi kelam-kabut. Ketika itu, katanya tentu kerajaan akan berbalik kepada sifir satu. Berbalik kepada matematik mudah. Berbalik ke pangkal mencari penyelesaian; bahawa menghasilkan produk sendiri lebih menguntungkan.

Saya tanyakan Seman. Kenapa marah sangat fasal gula, beras dan minyak masak? Apakah dia berdendam dengan kerajaan? Seman menggelengkan kepala. Saya tak tahu dia sama ada dia berbohong atau jujur tapi dari riak mukanya yang mula berubah seperti seekor kambing disimbah air, saya tak mahu bertanya lagi.

Sambung cerita Seman lagi, apa yang dia cakap untuk kebaikan. Sepatutnya kerajaan kena amalkan konsep hasilkan barangan sendiri berbanding lebih bergantung kepada barangan luar.
Bukan apa, katanya. Tanah kita subur. Luas pula tu. Lagipun terlalu ramai rakyat yang boleh bekerja dalam bidang pertanian. Seman siap bagi contoh. "Kau ingat tak satu masa dulu? Kerajaan suruh kita tanam cili sendiri kat belakang rumah apabila harga cili melambung tinggi,"

Saya anggukan kepala. Betul juga. Kenapa pula dalam soal gula dan beras kita tak beri tumpuan. Kalau ikut kata Seman, kita hanya hasilkan gula 1 peratus sahaja. Baki 99 peratus lagi kita import. Nampak benar macam negara kita dah tak ada tanah untuk menanam tebu. Itu juga yang Seman bebelkan. Begitu juga beras katanya. Kita ada bendang tapi masih mengimport beras.

Katanya, ada saja alasan yang dia dengar kalau bercerita dengan orang lain. Ada yang kata, tebu dalam negara kita tak dapat hasilkan gula bermutu. Ada pula kata, kos hasilkan gula atau beras sendiri lebih mahal daripada mengimportnya. Bagi Seman itu hanya alasan.

Saya diamkan diri. Hal-hal begini selalu sangat Seman bangkitkan. Lalu saya teringat sawah padi di Kampung Bukit Tembok dan Sungai Raya di Port Dickson yang kini telah bertukar bak pulau-pulau hutan. Dulu kawasan itu merupakan zon penghasilan padi terbesar di Negeri Sembilan. Hairannya, kawasan itu diubah, konon lebih sesuai dijadikan kawasan pertanian berkelompok. Mungkin ini yang buat hati Seman jengkel sangat. Macam tiada kesungguhan dalam menghasilkan barangan keperluan sendiri. Kita lebih rela buat kilang dan pakat ajak anak-anak muda bekerja makan gaji sambil melupakan bahawa tanah kita yang subur itu sebenarnya adalah kilang-kilang yang menjanjikan pulangan lebih lumayan.

Terbayang saya apa akan jadi kalau hal-hal ini tidak diberi perhatian. Apakah kita akan menjadi seperti negara lain yang tidak mempunyai tanah untuk pertanian dan sepenuhnya bergantung kepada import dariada negara luar. Tentu kos hidup akan meningkat dan pendapatan secupak tidak lagi mampu menampung perbelanjaan segantang!

DEBUS-DEBUS SINGALAUT MEMBELAH OMBAK: Orang tua-tua selalu memberi ingat, bila melihat ke langit jangan lupa rumput di bumi. Sama juga seperti jangan sampai terhantuk baru kita nak sedar.

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENERIMA SESUATU DARIPADA DATUK BANDAR SHAH ALAM, DATUK MAZALAN MD NOOR 10.10.10