Keberangkatan pulang Tun Omar Yoke Ling Ong, sangat-sangat menyentap perasaan saya. Di kala-kala saya sedang membaca secara serius buku pemberian yang diberikan oleh allahyarham kepada saya pada tahun 1996, saya nyata terkejut dengan pemergian ini. Namun Allah lebih menyayanginya.
Allahyarham menghadiahkan saya sebuah buku yang dihadiahkan oleh allahyarham Tunku Abdul Rahman kepadanya. Ketika itu saya menemuinya di kediaman beliau bagi menjalankan satu tugasan Metro Ahad. Buku koleksi tulisan Tunku; Looking Back itu amat saya sayangi dan minggu ini saya membacanya hampir setiap hari. Barangkali itu tanda-tanda kecil yang saya kurang mengerti. Dalam buku itu, allahyarham Omar menulis dan menandatangani buku pemberiannya. Terdapat juga tulisan tangan Tunku yang Omar sebagai antara rakan yang terbbait dalam awal perjuangan kemerdekaan. Namun bukan itu yang penting. Paling penting ialah kata-kata allahyarham yang sentiasa saya ingat sampai bila-bila.
Katanya, kita mesti sentiasa bertolak ansur dan kalau mahu berjaya, mesti gigih dan kalau mahu memburu kejayaan kita mestyi yakin kejayaan akan datang pada masa yang ditetapkan.
Rasa terkilan juga, gambar saya bersama allahyarham di rumahnya dulu juga telah hilang. Puas saya mencarinya, tetapi ternyata hampa.
Dengan pemergian Tun Omar, saya rasa kehilangan dua orang Tun yang pernah saya bercakap secara empat mata, bercerita pelbagai hal berkaitan peribadi, bangsa dan negara. Seorang lagi ialah bekas menteri wanita pertama, Tun Fatimah Hashim.
Semoga Allah mencucuri rahmat kepada kedua-duanya dan diberkati serta ditempatkan roh allahyarham di sisi mereka yang beriman.
Kami menghantar kamu pergi, tapi kami tak akan berhenti akan singgah juga di negeri jauh tempat kita abadi.