nuffnang ads

Thursday, July 1, 2010

TULIS BERITA

Mana nak cari berita? Setiap hari pulak tu? Antara soalan selalu ditanyakan berkenaan kesulitan wartawan mencari bahan untuk dimuatkan di dalam akhbar. Soalan yang bagus kerana ia bertolak dari logik akal.

Memang sukar mencari berita, apatah lagi akhbar diterbitkan setiap hari. Maknanya, wartawan mesti bekerja memerah otak setiap hari mencari berita. Isunya, mahu dicari di mana?

Apa sahaja pekerjaan memang sulit dan memenatkan kalau tidak diiringi oleh rasa tanggungjawab terhadap pekerjaan itu. Maka, setiap pekerjaan pun akan menjadi suatu kesusahans, termasuk kepada wartawan. Namun bagi mengatasi masalah atau menjawab kemuskyilan ini, wartawan sebenarnya bekerja menggunakan akal atau otak.

Kita perlu faham bahawa dalam sehari ada 24 jam. Dalam setiap jam ada 60 minit dan dalam 60 minit ada 3,600 saat. Pernahkah kita terfikir bahawa setiap saat akan berlaku satu peristiwa atau kejadian dalam hidup kita atau di persekitaran hidup kita. Maka, tugas kita seperti pemetik buah. Petiklah misalnya, tiga (3) persitiwa mempunyai nilai berita atau yang dianggap berita penting dan bermutu untuk dijadikan berita. Mudah saja. Demikian wartawan bekerja jika menggunakan logik.

Ada juga wartawan bekerja menggunakan rangkaian hayat yang dibina di sekelilingnya, iaitu rangkaian yang membentuk sumber maklumat atau pemberi maklumat yang akan bekerja secara sukarela menyalurkan maklumat untuk ditapis oleh wartawan itu sendiri. Ini adalah kaedah bijak yang perlu ada dalam diri wartawan untuk menghasilkan berita. Sumber-sumber ini kebiasaannya adalah mereka yang bekerja daripada pelbagai latar belakang bidang pekerjaan termasuk polis, bomba, pegawai kerajaan, penarik kereta, guru, ketua kampung atau sesiapa sahaja yang bersedia menyalurkan maklumat.

Kebiasaanya, pemberi maklumat ini dianggap kawan rapat atau sahabat, manakala segelintir yang lain menyalurkan maklumat mungkin kerana mempunyai kepentingan tertentu tetapi, kepentingan ini tidak akan dipedulikan wartawan kerana hal yang lebih penting adalah mendapatkan maklumat untuk diproses menjadi berita.

Seorang wartawan pemalas tetapi bijaksana mungkin boleh tidur atau duduk menggoyangkan kaki kerana berita akan datang hampir setiap masa. Jika memerlukan berita segera, mereka akan menghubungi pemberi maklumat dan bertanyakan maklumat lain yang boleh dimanipulasi sebagai rencana pula.

Satu contoh pengalaman saya dulu. Ketika itu bekerja giliran malam dan biasanya pulang ke rumah sekitar jam 8 pagi. Bagaimanapun, kira-kira jam 6.45 pagi seseorang menghubungi saya di tempat kerja saya di Balai Berita Jalan Riong.

Tanpa memperkenalkan diri, pemberi maklumat itu memberitahu sesuatu. "Encik..sudirman dah meninggal. Tadi ahli keluarganya buat laporan di balai polis..."

Mendengar maklumat itu saya bertanyakan banyak kali lagi, dan akhirnya si pemberi maklumat berkata, dia tak mahu berbohong dan mematikan perbualan. Saya ambil contoh ini kerana mahu memaklumkan bahawa bahan berita tidak semestinya dicari, tetapi ada kalanya datang sendiri. Bagaimanapun perlu diingatkan, bahawa tidak semua maklumat yang diberikan kepada wartawan adalah benar! Mesti sentiasa ingat, menjadi wartawan mesti bijak menjadi penapis, mesti bijak menjadi ahli psikologi, menjadi bijak menjadi peguam, mesti bijak menjadi orang yang tidak tertipu dek senyum, terbohong dek gelak.

Berbalik hal Sudirman tadi, saya terpaksa berkira-kira, menimbang menggunakan neraca akal yang logik-logik dan beberapa fakta lain yang menyakinkan. Saya akhirnya bertawakal dan benar. Saya dan Saodah Ismail, bergegas bersama seorang jurugambar ke rumah kakak sudirman, Rodziah di sekitar Bangsar. Dan terbukti benar. Selepas saya berbulan-bulan memburu maklumat di mana Sudirman berada, selepas dilaporkan gagal dikesan oleh media kerana didakwa sakit atau berubat, akhirnya saya berjaya menemui beliau. Cuma sayu hati saya kerana beliau telah tiada lagi ketika itu. Dibawa naik ke tingkat atas oleh Atai, anak buahnya, saya menjadi wartawan pertama yang sempat menziarahi jenazah Sudirman di rumah kakaknya. Saya kemudian turut mengiringi jenazah untuk mendapatkan berita mengenai pengkebumiannya sehingga ke Temerloh dan ternyata berita kematian Sudirman, diratap oleh bukan sahaja peminat Melayu, tetapi oleh peminat dari golongan bukan Melayu...bersambung

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENERIMA SESUATU DARIPADA DATUK BANDAR SHAH ALAM, DATUK MAZALAN MD NOOR 10.10.10