nuffnang ads

Friday, July 2, 2010

NOSTALGIA WARTAWAN

Ini satu daripada 1,000 kisah yang harus dikongsi bersama. Saya dan jurugambar Yahya Zain serta Yahaya Hashim pernah bertugas pada satu malam. Kami ke tapak binaan (kini bangunan SOGO) kerana menerima maklumat sebuah kereta terbabas dan masuk ke dalam lubang pembinaan.

Tiba di sana, kami terus memasuki kawasan berkenaan. Jurugambar ambil gambar sepatutnya. Tapi kira-kira 10 minit selepas itu, seorang lelaki negara timur tengah yang mengaku jurutera tapak pembinaan itu mengurung Yahaya Hashim dengan mengunci pintu pagar tapak binaan.

"Saya mahu panggil polis tangkap kawan awak!" dia memberitahu saya dalam bahasa Inggeris. Saya dan Yahya Zain mempersoalkan tindakan itu. Saya tanyakan, di mana papan tanda yang melarang kami masuk kawasan berkenaan. Di mana juga pengawal keselamatan yang sepatutnya bertugas menghalang orang luar jika benar kawasan itu kawasan larangan?

Lelaki Timur tengah itu bertegas. Mukanya separuh sombong macam kura-kura dapat mengunyah selori kangkung. Malah dua tiga rakannya rakyat tempatan mengugut bahaya kalau polis tiba menahan jurugambar kami. Mereka tidak tahu kami adalah dari unit meja jenayah dan biasa melalui keadaan serupa itu.

Saya pun naik angin lalu bercakap tinggi kepada lelaki itu. Mana polis? Saya tanyakan dia. Dia kata akan suruh kawannya telefon. Saya balas lagi. Saya cakap tak payah susah-susah. Saya sendiri yang akan panggil polis untuk datang ke situ. Lelaki Timur Tengah itu menyangkakan saya hanya bergurau. Selang 10 minit, sepasukan polis menaiki kereta peronda tiba.

Saya pun memberitahu hal sebenar tentang kawan jurugambar saya yang dikurung secara paksa. Saya beritahu juga yang saya syak lelaki Timur Tengah itu tiada dokumen dan permit kerja. Ya...memang benar. Lelaki mendakwa jurutera itu tiada mempunyai dokumen pengenalan dan di sebalik hasratnya mahu kawan saya dibawa ke balai, dia pula digari dan dibawa menaiki kereta peronda.

Moral cerita ini, ialah jangan cari kesalahan orang kerana kadang-kala kesalahan kita lebih banyak. Demikian secebis pengalaman wartawan yang boleh dijadikan iktibar kepada yang berminat menceburi bidang itu satu hari nanti.

Tahniah juga kepada Berita Harian sempena ulangtahun ke 53 yang dihadiri ramai kenalan lama semalam. Maaf saya kepada Pengarang Kumpulan Datuk Mior Kamarul kerana tidak dapat hadir walaupun beliau menghantar SMS minta supaya dapat datang juga. Maaf juga kepada panitia seperti Isa Nikmat. Dengar, Ahmad Al-Husna rakan lama di Harian Metro dulu juga datang. Kata Rasid Rahaman, Pengarang Berita, ramai kawan-kawan yang datang dah beruban. Saya hanya gelak. Memanglah pada usia sebegini bukankan kita lebih senang menanam lalang di tanah usia?!

Datuk Ahmad Nazri Abdullah yang pernah 10 tahun menjadi pengarang kumpulan Berita Harian juga hadir. Saya pasti pertemuan itu ditemani juga air mata kerana pelbagai nostalgia gembira sedih dikongsi bersama. Pemergian Tan Sri Samad Ismail, bekas ketua pengarang pertama Berita Harian, diganti sedikit ingatan dengan menamakan bilik Samad Ismail di dalam premis BH.

Saya ucapkan semoga Berita Harian menjadi akhbar yang benar-benar telus dan ikhlas kerana ketelusan dan keikhlasan akan sentiasa dikenang pembaca. Ingatlah pada pesan allahyarham Tun Ghafar padsa satu majlis tahun 1993 di sebuah hotel di Kuala Lumpur. Ingatlah sahabat-sahabat yang masih berjuang bahawa kadangkala kita tidak boleh kelihatan berpuak atau berpihak.

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENERIMA SESUATU DARIPADA DATUK BANDAR SHAH ALAM, DATUK MAZALAN MD NOOR 10.10.10