nuffnang ads

Thursday, March 24, 2011

SERONOK MUHASABAH MELIHAT KE DALAM DIRI


KAMI berdua. Duduk dan bersembang. Isu di antara kami, terbuka. Apa sahaja boleh dilontarkan asal jangan sampai menghina agama!

Tujuan kami adalah untuk membuka diri sendiri ditonton oleh diri sendiri. Kami anggap sembang itu seperti melihat cermin. Melihat diri masing-masing!

Lelaki itu kata, sembilan daripada 10 yang saya hujahkan, salah. Saya kata, dalam Islam sembilan daripada 10 rezeki yang menguntungkan adalah daripada perniagaan. Dia kata kita lihat orang jangan dari wajahnya. Saya kata, selama ini saya cuba melihat seseorang daripada hatinya. Dia kata, itu perkara mustahil, sebab hati berada di dalam diri. Saya kata, hati memang di dalam diri tetapi apa yang hati bisikkan, selalunya dapat dilihat daripada pergerakan tubuh atau anggota luaran. Dia kata contohnya macam mana? Saya jawab, kalau hati berkata tidak, biasanya tangan akan bergerak menunjukkan isyarat tidak. Kening dan dahi juga akan berkerut kerana mengikut bisikan hati yang berkata tidak. Dia kata, tidak sepenuhnya!

Kami teguk minuman. Masing-masing dua gelas! Bila tiba giliran untuk saya kata dia selalu salah, dia minta contoh. Saya berikan contoh yang dia selalu nasihatkan anaknya agar tidak menghisap rokok tapi dia masih menghisap rokok! Dia minta contoh lagi. Saya beritahu dia, kenapa hanya membaca sejenis akhbar sahaja. Dia jawab, sebab dia tidak percaya pada akhbar lain. Saya balas, kalau beranggapan macam itu, sampai bila kita tidak tahu banyak perkara. Dia tanya saya, berapa akhbar yang saya baca. Saya beritahu, saya baca Berita Harian, Utusan, Metro, The Star, Harakah dan apa sahaja portal berita yang terpapar. Dia kata, itulah salah saya. Alasannya, sebab terlalu banyak baca benda buruk, hanya buruk yang saya lihat. Saya jawab. dia amat silap mentafsir fasal keburukan. Sebenarnya kata saya, untuk mencari kebaikan, kita mesti tidak bersikap selektif. Kebaikan juga ada dalam keburukan kalau kita pintar mencarinya. Saya bagi contoh. Saya kata, semua benda buruk ada nilai baik. Kalau tidak, tidak ada kedai kitar semula di seluruh dunia. Hatta, najis daripada segala jenis hidupan termasuk manusia dan haiwan juga ada baiknya! Sekurang-kurangnya untuk buat baja. Yang penting kata saya, kita kena bijak gunakan akal secara bestari! Berfikir cepat dan rasional.

Dia sedikit angin mendengar hujah itu. Kata dia, kalau baca Harakah, macam mana tidak terpengaruh dengan dakyah pembangkang! Saya kata, apakah seseorang yang kuat iman apabila membaca Injil akan menukar agamanya daripada Islam? Lagipun saya kata, salahkah akhbar itu sehingga ada kala apabila ia diletakkan di atas meja, ada orang lari tinggalkan kedai. Kata saya lagi, kalau akhbar pun ditakuti, macam mana mahu bercerita soal perjuangan? Dia terdiam sejenak kemudian keluarkan hujah. Katanya, bacalah akhbar yang baik dan positif sifatnya. Saya kata, dalam dunia ini tidak ada satu neraca yang boleh mengukur dan membuat piawaian bahawa satu-satu akhbar itu baik dan positif isi kandungnya. Dia tanya kenapa? Saya jawab, akhbar ditulis oleh manusia. macam surat cinta juga, ada surat cinta yang benar tulus untuk mencintai seseorang. Tetapi ada juga surat cinta yang memuatkan isi penuh palsu, misalnya semata-mata untuk memikat wanita demi kesenangan atau materialistik sifatnya!

Lama kami sembang dan berhujah. Kesimpulannya dia sentiasa mahu menang. Saya kata, menang bukan petanda kita hebat. Kalah pula bukan petanda kita tidak bagus. Dia tanya maksudnya? Saya kata, ada orang mendapat kemenangan dengan cara paling busuk, misalnya melakukan penipuan. Ada orang menang kerana lawan tidak kasihan kerana dia amat mahukan kemenangan. Kemenangan itu saya kata, datang hanya daripada simpati orang bukannya kekuatan diri sendiri. Ada orang kalah bukan sebab tidak hebat, tetapi kerana ditipu agar sentiasa tidak menang. Dia tetap tidak bersetuju. Dia kata, itu hanya kenyataan umum, belum tentu benarnya. Saya bidik, kenyataan dari mulutnya juga umum belum tentu ada benarnya.

Diringkaskan cerita, dia sarankan saya tidak jadi seperti pasir. Jadilah seperti intan! Saya setuju tapi hanya sedikit. Saya kata apa guna jadi intan kalau intan dibeli dengan harga mahal tapi apabila dijual, harganya lebih murah daripada emas! Dia balas, katanya sekurang-kurangnya itu lebih baik daripada pasir. Saya jawab. Saya kata, pasir juga banyak baiknya. Kalau pemandu kenderaan tidak berhati-hai di jalan raya, kehadiran pasir boleh mengakibatkan pengguna maut kemalangan kalau tidak berhati-hati. Saya tambah lagi, pasir juga digunakan untuk membuat rumah sebagai perlindungan manusia. Tidak ada orang gunakan intan untuk membuat rumah, walaupun sekaya mana dia di dunia ini!

Lepas minum, dia hulurkan tangan bersalam. Dia kata, mahu mencari kawan lain untuk bertukar hujah. Dia tanya saya mahu ke mana pula. Saya kata, saya mahu tamatkan hujah di situ sahaja sebab saya perlu bertemu Tuhan untuk memohon maaf kalau hujah saya tadi tidak benar. Saya mahu solat sebab telah lewat malam. Dia lempar muka masam. Saya gelak dan saya kata, "Kamulah orang paling hebat!". Sejenak, barulah dia tersenyum. Dan saya pun main faham dan khatam tentang sahabat itu.


MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENERIMA SESUATU DARIPADA DATUK BANDAR SHAH ALAM, DATUK MAZALAN MD NOOR 10.10.10