nuffnang ads

Thursday, February 10, 2011

MEMO UNTUK PERDANA MENTERI: KALAU TUHAN TIDAK BAKAR RUMAHNYA, KITA TIDAK TAHU KESENGSARAAN BUJANG TAHA SEBENARNYA.


DATUK Seri, ringkas dan jelas tujuan catatan ini.

Kalaulah Tuhan tidak membakar rumahnya sehingga ke paras tanah, barangkali kita tidak tahu bahawa ada kalanya kita terlupa dan mudah lupa.

Bujang Bin Taha, 74 tahun. Seperti kita tahu dan maklum, beliau adalah Olahragawan Kebangsaan 1981 dan 1989. Beliau juga adalah pemenang pingat emas Sukan SEA 1977 dan 1979. Beliau juga pernah menggondol Mr Asia sebanyak EMPAT kali.

Ketika atlet masa kini dan bekas atlet lain yang pernah menaburkan jasa untuk negara menikmati buah budi dan segugus kebaikan kerajaan sebagai tanda kenang buat meneruskan hidup selepas persaraan, sayangnya Bujang Bin Taha berbeza hidupnya Datuk Seri.

Bekas jaguh bina badan negara itu, kini hanya bergantung hidup kepada hasil jualan sayur-sayuran di Pasar Satok, Kuching, demi memastikan agar kelangsungan hidup sekeluargnya dapat diteruskan.

Dugaan Tuhan berikan sehingga rumahnya musnah terbakar kelmarin, hanyalah segenggam lagi garam buat memupuk lagi luka di hatinya.

Dia tidak pernah menerima apa-apa selain sijil penghargaan sebagai tanda kenang. Memang itu pun namanya budi, Datuk Seri tetapi dalam menjalani kehidupan hari ini sehelai kertas atau segolong sijil penghargaan tidak mampu dicagarkan ke kedai untuk membeli sekampit beras, hatta untuk membeli seekor ikan kembung.

Saya petik kata-kata Bujang bin Taha Datuk Seri. "Saya tidak tahu, apakah kemenangan saya di peringkat Asia dulu bukan sumbangan untuk negara kerana sehingga kini saya tidak menerima sumbangan daripada Majlis Sukan Negara"

Saya petik lagi kata-katanya, Datuk Seri. "Saya tidak faham mengapa peman bola sepak, bandminton dan skuasy menerma pelbagai ganjaran, sedangkan atlet bina badan seperti saya langsung tidak menerima perhatian".

Saya petik lagi kata-katanya, Datuk Seri. "Setahu saya Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) pernah mengumumkan, setiap atlet yang pernah mengharumkan nama negara memerlukan pembelaan, tetapi mengapai kini saya tidak menerima apa-apa, selain sekeping sijil penghargaan. Tolonglah...jika ada skim bantuan untuk bekas atlet, janganlah terus sisihkan saya".

Demikian Datuk Seri, ringkas dan jelas untuk kita fahami. Dan saat ini saya masih ingat lagi kata-kata Datuk Seri bahawa Datuk Seri bersedia untuk menjadi hamba kepada rakyat demi atas nama perjuangan untuk bangsa, negara dan agama.

Ya, Datuk Seri. Bantulah Bujang Bin Taha. Pada usia emasnya, marilah kita rawat luka dan duka di hatinya dengan sedikit pujukan.

Saya pasti esok lusa Datuk Seri akan segera menangani dukacita anak Melayu ini yang pernah beberapa kali berjasa mengharumkan nama negara. Dan saya amat pasti Datuk Seri tentunya tidak mahu berasa ralat andai kelekaan kita membuat air mata tidak bermakna lagi. Sementara masih ada hayatnya, datanglah segera membawa bantuan untuk anak watan yang pernah berjasa ini. Salam.

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENERIMA SESUATU DARIPADA DATUK BANDAR SHAH ALAM, DATUK MAZALAN MD NOOR 10.10.10