nuffnang ads

Saturday, February 12, 2011

BAB TIGA


Lain benar bunyi arahan mejar Johari. Lain benar rasanya sehingga perasaan dan fikiran Fadilah terus sahaja diganggu dengan pertanyaan yang bukan-bukan.

"Kalau boleh saya nak tengok tiga-tiganya sekali jadi orang. Kalau ikut pemerhatian saya...dia orang tu taklah teruk sangat....Especially Ros!" jelas tapi lain macam pula arahan yang singgah ke cuping telinganya itu. Itu yang bermain-main di dalam benaknya.

Ditimbang-timbangnya lagi dalam rasa yang  tidak ketentuan. Kenapa mesti ada arahan berbunyi especially Ros? Kenapa tidak sahaja secara umum mejar Johari menyatakan arahannya itu? Misalnya menyuruh dia mencari jalan membentuk kesemua 20 pelatih wanita yang bermasalah itu menjadi orang!

Apakah kerana Ros budak cantik, ada lesung pipit dan boleh mencairkan hati mana-mana lelaki maka mejar Johari boleh berkata begitu? Ah...Fadilah marahkan fikirannya kerana terlalu jauh pula menerawang dan meneka yang bukan-bukan.

Pintu dewan B yang lebih kecil dari Dewan A dikuaknya  perlahan-lahan. Dewan itu hanya mampu menempatkan 30 pelatih bagi satu-satu masa berbanding Dewan A yang sering digunakan untuk majlis atau kelas yang lebih besar dan boleh memuatkan lebih 200 orang. Dewan A juga menjadi dewan untuk penyampaian sijil pada hari terakhir program. Dewan B yang digunakan ini pula sama besar dengan Dewan C dan Dewan D.

Demi terkuak sahaja daun pintu, telinga Fadilah diserang bunyi amat mengganggu tak ubah seperti  bunyi sekumpulan langau hijau sedang mengurung ikan masin berulat. Dengungannya menerjang ke segenap isi ruang. Baru 20 orang, bentak hatinya, tapi Fadilah tidak mahu mengambil kisah sangat keadaan itu.

Di dewan itu Fadilah akan mengendalikan kelas minggu pertamanya bersama jurulatih baru, Sahidah. Kelas pembentukan diri! Kelas yang bertujuan mengenali peribadi dan membentuk semula keperibadian anak-anak muda itu ke arah yang lebih sempurna dan mempunyai harga yang akan diterapkan berdasarkan asas ilmu psikologi!

Sementara menunggu Sahidah masuk membantunya, Fadilah terus menuju ke bangku depan, tidak mempedulikan bunyi-bunyi langau yang kadang-kala bertukar menjadi seperti bunyi riuh burung layang-layang mencari sarang di waktu petang.

Sejenak duduk melabuhkan punggung, Fadilah tidak mahu menunggu lama. Jam tangannya menunjukkan 7.50 pagi. Dia mesti memulakan kelasnya untuk menghentikan bunyi-bunyi yang masih mengganggu itu. Lalu dilontarkan suaranya yang keras agar menarik perhatian.

"Kelas!" walaupun tubuhnya kecil, tapi suaranya sudah cukup mengatasi dengung bunyi langau yang masih tidak henti-henti beralun dan mengganggu itu. Suara keras itu bagaikan berdentum menerjah suasana, lalu menggamit perhatian kesemua pelatih perempuan yang ada.

"Kelas! Beri perhatian...jangan bercakap. Tolong diam, beri perhatian! Kita akan mulakan kelas ini sebentar saja lagi" diulanginya. Dan perlahan-lahan senyaplah bunyi-bunyi langau yang mengganggu itu.

Dia berdiri. Dua tangannya menekan meja. Matanya ditebar seluas-luas. Pandangannya singgah ke wajah seorang demi seorang.  Tiba pada tubuh badan di baris paling tepi, di meja nombor dua terakhir dari depan, bola mata Fadilah terhenti lama. Direnungnya wajah seseorang. Budak itu dilihatnya beberapa kali menyibak ekor rambut yang singgah ke dahinya yang licin, setiap kali terkena angin dari putaran kipas yang dibuka pada kelajuan yang maksimum.

Ros! Ya, budak itu membalas renungannya dengan melemparkan senyum. Terpandang dia pada dua lesung pipit di kiri dan kanan pipi budak itu. Tiba-tiba dia teringat bagaimana dulu budak itu berdiri betul-betul di depan mejar Johari di padang kawad. Kemudian budak itu menghulurkan tangan bersalam. Kemudian dia terlihat tangan budak itu menyambut tangan mejar Johari dan digenggamnya lama-lama. Fadilah masih teringatkan itu. Kemudian apabila budak itu berpatah balik ke arah kelompok kawan-kawannya di bawah pohon Areca Catechu, budak itu sempat berpaling dan mengangkat keningnya ke arah mejar Johari. Mengada-ngada! Memang mengada-ngada, getus hatinya.

Kemudian Fadilah teringat pula arahan yang baru diterimanya, supaya mendidik budak itu dan dua kawannya yang lain agar boleh menjadi orang. Dia teringat lagi kata-kata mejar Johari; especially Ros!

"Ada apa puan? Saya ada buat salah ke?" Fadilah tersentak, termalu-malu sendiri. "Tengok saya lama-lama, kenapa puan?" Ros menyoalnya lagi, disambut bunyi-bunyi langau dari mulut kawan-kawan yang lain.

Fadilah mengalihkan pandangnya  ke meja sebelah budak itu. "Saja...sebab awak cantik...saya terpaku tengok kecantikan kamu!" Fadilah berbohong menjawab.

Jawapan itu disambut dengan teriakan dan kompang sorak sorai menyebabkan kelas menjadi riuh seketika. Namun ia kembali senyap apabila Fadilah tidak mempedulikan kebisingan itu.

"Ros...Jalilah.." dia menyebut dua nama itu secara spontan. "Anita mana?" dia berpura-pura menggegaskan matanya ke merata arah.

Ros bangun. Tangannya menuding ke baris ketiga di kerusi tengah. "Tu...tu Anita puan. Popular juga kami ya!" tambahnya seolah-olah menyindir. Kelas gamat lagi.

Fadilah melemparkan senyum dalam terpaksa. Nampaknya, kalau dia gagal menguasai kelas ini dengan sempurna, mahu sahaja dirinya akan dipermainkan. Dia tidak mahu itu berlaku. Tak mahu, bisik hatinya lagi.

Kelas bagi pelatih lelaki dikendalikan Sahar dan Senik di Dewan C dan Dewan D. Bendanya semua sama. Silibus kelas yang diberikan kepada semua pelatih ini akan berlangsung selama empat minggu. Seminggu dua kali, bermakna lapan kali kelas pembentukan diri dengan pelbagai modul akan diajarkan.

"Okey kelas...hari ini kita akan memulakan kelas pembentukan diri. Kelas pertama dalam minggu pertama. Sebelum kita mulakan...ada sesiapa yang mahu bertanya. Mungkin ada yang belum faham?"

"Ada sesiapa yang masih muskyil...masih kurang faham atau yang ada masalah, boleh tanya...jangan malu-malu!" Fadilah bergerak ke depan menghampiri meja pelatih perempuan yang duduk berdekatannya. Kemudian dia berpatah semula ke kerusinya dan perlahan-lahan duduk.

Penuh yakin Fadilah mampu mengendalikan kelas pertama dari kelompok pelatih bermasalah ini. "Kalau sesiapa yang ada masalah...kurang faham atau kurang jelas...jangan malu! Tanya!" dia menyambung percakapannya. "Jangan malu-malu. Kita berada dalam kelas ini untuk belajar. Belajar adalah penting dalam usaha kita menambahkan ilmu!" sambungnya. Namun semua pelatih perempuan yang duduk di depannya diam membisu.

"Assamualaikum!" pintu kelas tiba-tiba terkuak. Sahidah jurulatih kontrak yang akan membantu Fadilah tiba. Dia melemparkan senyuman kepada semua yang ada di dalam kelas itu. Kepada kesemua 20 pelatih dan Fadilah.

Fadilah menyambut Sahidah dan kemudian memperkenalkan jurulatih kontrak itu kepada kelas. "Ini jurulatih baru kita...namanya Puan Sahidah. Puan Sahidah akan membantu saya dalam kelas pembentukan diri ini!" ujarnya sambil mempelawa sahabat barunya itu duduk di sebelah. Sahidah melemparkan senyuman.

Borang maklumat diri dan tiga helai kertas kosong untuk ditulis oleh pelatih dikeluarkan. Setiap pelatih dikehendaki mengisi borang berkenaan dan selepas itu mereka diminta pula menulis esei di dalam tiga helai kertas kosong yang akan diedarkan. Fadilah dan Sahidah berbisik. Sahidah mengangguk-angguk. Sesekali macam burung belatuk mematuk ulat di pongka kayu reput.

Sahidah bangun. Dia terus mengedarkan borang maklumat diri dan tiga helai kertas kosong kepada semua pelatih. Sambil mengedar borang itu dia sempat bertanya-tanya kepada setiap pelatih yang didekatinya. Sahidah berbaju T lengan panjang dan berseluar jeans. Sama seperti Fadilah. Cuma bezanya, Fadilah bertudung.

Selesai mengagihkan borang maklumat diri dan kertas kosong, Fadilah memberi taklimat terakhir. Dijelaskannya apa yang perlu dilakukan oleh pelatih. Daripada mengisi nama dan pelbagai maklumat diri sehinggalah kepada menulis esei yang dikehendaki itu.

"Ingat ya kelas...esei kamu mesti dibuat secara ikhlas dan jujur. Kamu boleh memilih sesiapa yang sahaja yang kamu fikir amat kamu hargai dan kamu sayangi dalam hidup kamu. Kamu tulis tentang kebaikannya dan sebab-sebab kenapa kamu menghargai..menghormati atau pun menyayangi idola kamu itu. Kamu ada masa selama dua jam untuk menulis esei ini...dan kamu boleh mulai sekarang!" arahnya.

Tetapi arahan itu tidak boleh diteruskan kerana Ros tiba-tiba berdiri bertanya. "Personaliti yang kita tulis ni, tak semestinya sanak saudara atau keluarga kita kan puan?"

 Fadilah mengangguk. "Yapp!"

Sahidah tersenyum. Dia tersenyum merenung ke arah Ros. Itu kali pertama dia melihat wajah anak-anak muridnya sebab ketika mereka tiba minggu lalu, Sahidah belum lagi melaporkan dirinya.

Kemudian Sahidah berpaling kepada Fadilah dan membisikkan sesuatu. Fadilah anggukkan sahaja kepalanya.

Kelas telah bermula.Selesai lima minit diberikan untuk pelatih mengisi borang maklumat dan latar belakang diri, Sahidah mengutipnya satu persatu dan dibawanya ke atas meja. Diserahkannya borang itu kepada Fadilah.

Teringin sangat Fadilah melihat borang maklumat diri yang ditulis oleh Ros! Teringin sangat. Entah kenapa, dia sendiri tidak mengerti. Diselaknya di antara 20 borang yang ada di atas meja lalu dia pun terjumpa.

Diperhatikannya borang itu penuh teliti. Siti Rosmina Bidin. Usia 19 tahun. Asal dari Johor. Anak yatim piatu. Tinggal bersama nenek. Tamat tingkatan lima. Hobi, menyanyi. Cita-cita...hahhhhh! Terkejut Fadilah membaca apa yang Ros tuliskan pada ruangan cita-cita itu.

"Nak jadi orang!" Diangkatnya kepala memandang ke arah Ros yang sedang tekun menulis di mejanya. Diperhatikannya budak itu lama-lama. Memang cantik budak itu, tetapi sayang bisik hatinya perangainya pula tidak secantik wajahnya. Tidak dapat dibayangkan bagaimana budak secantik itu rupanya sebelum ini adalah kaki gaduh di kem asalnya.

"Kenapa senyum?" tiba-tiba Sahidah berbisik. Fadilah berbalas bisik dan dihulurkannya borang maklumat peribadi Ros kepada Sahidah.

"Tuu..baca tu..!" bisiknya sambil jari telunjuknya tepat menunjuk ke arah ruang cita-cita yang ditulis Ros.

Sahidah tergelak. "Nakal budak ni!" bisiknya kepada Fadilah.

"Memang! Masa sampai dulu dah tunjuk belang. Mejar Johari tadi ada pesan, suruh saya beri perhatian lebih pada budak ni!" balas Fadilah berbisik.

Sahidah anggukkan kepalanya. Borang maklumat pelatih lain pula disemak baca oleh Fadilah. Kemudian dibaca pula oleh Sahidah. Termasuk juga borang maklumat diri mengenai Jalilah dan Anita yang dikatakan oleh mejar Johari turut mesti diberikan perhatian.

Suara langau yang membingitkan telinga tadi telah hilang. Semua pelatih sedang tekun menulis esei. Mulut masing-masing kini bagaikan terkunci oleh kesibukan menyiapkan esei yang diwajibkan itu.

Satu jam berlalu. Tiada seorang pun bertanyakan mereka. Fadilah dan Sahidah pasti, kesemuanya faham arahan yang diberikan. Kesemua pelatih perempuan itu masih tekun menyiapkan tugasan yang diberi.

Tiba-tiba pintu dewan terkuak lagi. Mejar Johari muncul tiba-tiba di balik daun pintu itu. Mejar Johari melemparkan senyum ke arah Fadilah dan Sahidah.

Malangnya, bunyi langau mulai kedengaran semula. Dan budak pertama membuka mulut ialah Ros! "Tuan!...saya tulis esei fasal tuan!" katanya lancang tanpa mempedulikan kawan-kawan lain yang semakin ramai terhenti menulis dan mengalih pandang ke arah mejar Johari yang telah berada di depan mereka.

"Saya tulis fasal tuan..." selamba Ros mengulangi kata-katanya membuatkan mejar Johari bergerak perlahan-lahan ke arah tempat duduk budak itu. Fadilah memerhatikan saja. Mahu ditegurnya, komandan sendiri berada di situ.

Dia berpaling ke arah Sahidah yang telah berdiri. Mukanya berkerut. Ada garis kurang senang merintang di dahinya.

"Idah tengoklah tu!" bisiknya. Sahidah hampir tergelak tapi sempat menutup mulutnya. "Mengada-ngada!" bisik Fadilah lagi.

Mejar Johari berada betul-betul di sisi Ros yang duduk sambil mendongak melemparkan senyum ke arah duda itu. Nampak jelas lesung pipit di kiri dan kanan pipinya. Mejar Johari membaca sebahagian yang ditulis oleh Ros. Dia tersenyum dan kemudian mengangkat ibu jari kanannya menunjukkan tanda bagus.

Fadilah berbisik ke arah Sahidah. Tanpa memberitahu mejar Johari dia melangkah ke luar, menguak pintu dan berlalu meninggalkan dewan itu.

Mejar Johari terpinga-pinga. Dia tertanya-tanya.

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENERIMA SESUATU DARIPADA DATUK BANDAR SHAH ALAM, DATUK MAZALAN MD NOOR 10.10.10