nuffnang ads

Friday, February 11, 2011

BAB DUA


"SAMPAI pun!" terlontar dua patah perkataan. Seolah-olah terlepas satu beban yang amat berat dari celah bibir nipis Fadilah. "Budak-budak perempuan tu biar saya bariskan dulu, tuan!" dia bersungguh menawarkan diri.

Mejar Johari sebaliknya hanya tersenyum. Kemudian perlahan-lahan dia mengangguk. Kala itu dia teringat lagi pesan Fadzil tentang perlunya kesabaran.

Diperhatikannya sahaja Fadilah berlengguk merapati kumpulan pelatih perempuan yang sedang berlonggok di bawah redup bayang pokok di tepi padang kawad itu. Diperhatikannya secara tidak sengaja. Mencuri-curi pula ekor matanya mengekori lengguk Fadilah. Hati jantannya menggatal dan berdebar-debar. Baik lagi chasis si Fad ini, membuak pula hati jantannya yang nakal berbisik! Noktah.

Dulu Fadzil pernah mencabarnya. "Aku tabik kalau kau boleh uruskan dia orang. Baik lelaki...baik perempuan...beban berat semua tu!" Mejar Johari hanya mampu tersenyum mengingat kata-kata sahabatnya. Matanya beralih pegun memerhatikan pelatih lelaki yang baru tiba menaiki dua bas warna kuning pinang.

Dibukanya fail senarai nama pelatih lelaki. Dalam fail itu telah ada tercatat lima nama yang mesti diberi perhatian. Nama-nama itu pula telah dimerahkan, sama seperti tiga nama pelatih perempuan yang ada dalam senarai yang telah ditelitinya sejak awal pagi.

Dia membaca lima nama yang dimerahkan oleh Fadzil. Freddie Lee - masuk program khas ini kerana bergaduh/ingkar arahan. Ahmad Barbuji - bergaduh. Murugan - bergaduh. Farid - bergaduh. Razak - bergaduh. Termasuk tiga nama pelatih perempuan, Siti Rosmina, Jalilah dan Anita yang kesemuanya juga atas alasan bergaduh atau ingkar arahan, menjadikan lapan orang daripada 65 orang pelatih yang baru tiba ini yang mesti diberi perhatian yang lebih.

Siti Rosmina atau Ros awal-awal lagi telah mendedahkan belangnya. Jalilah yang berambut kerinting dan kulit sedikit gelap, sama juga dengan Anita yang gempal itu, telah dihafal nama dan dicam wajahnya. Cuma kedua-duanya belum lagi menunjukkan perangai yang luar biasa.

Sewaktu memerhatikan senarai nama pelatih yang lain, minda perang mejar Johari sempat bercongak-congak. Dalam congakan itu dia cepat-cepat meletakkan dirinya sebagai ketua pelatun. Seluruh kawasan kem ini tiba-tiba telah bertukar dalam mindanya menjadi sebuah belantara yang amat tebal. Di dalamnya, segerombolan musuh sedang terkepung. Musuh di dalam hutan  belantara ini mesti ditawan kesemuanya secara hidup-hidup. Dia tidak mahu sama ada dirinya atau ahli pelatunnya termasuk Fadilah, Senik, Sahar, Harun dan Haji Kamal 'membunuh' seorang pun musuh yang sedang terkepung ini. Dia mahu mereka ditangkap hidup-hidup. Kemudian dibela. Kemudian dipelihara sebaik mungkin!

Satu semangat yang luar biasa masuk mengalir menghantar mejar Johari bersidang di dalam diri mengumpul segala kekuatan. Ilmu dan pengalaman lampau dikutipnya menjadi peta harapan. Segala ilmu perang yang dipelajarinya sejak dari Sekolah Pegawai Muda di Kota Belud sehinggalah ke merata tempat termasuk di Sandhurst Military Academy di Britain dulu akan dijadikan sebahagian silibus pengajaran di sini.

Beberapa bab pengalaman yang menjeruk sebahagian usianya dalam kehidupan di hutan juga akan dijadikannya teladan. Bukan murah ilmu yang diperolehinya selama ini. Ilmu perang dan ketenteraan di Sandhurst misalnya sama cemerlang dan tinggi prestijnya, setara bidang akademik yang ada di Cambridge dan Oxford University. Kesemua ilmu itu akan digunakannya sebaik mungkin.

Tiba-tiba mindanya keluar dari sidang dalam diri dan kembali berada pada keadaan yang hakiki.  Saat itu, pesan allahyarham Nordia dulu dikemamnya perlahan-lahan. Debar dalam atmanya, terhenti. "Kekuatan itu sama seperti proses luka bercantum menjadi parut! Kadang-kala terlalu lama untuk melihat ia terjadi" dikunyahnya pesan Nordia seenak-enak.

Bayang wajah allahyarham isterinya terutama pada ketika hujung hayatnya bertarung melawan kuman kanser yang telah meratah sebahagian besar kepalanya itu datang berulang-ulang. Berulang-ulang bayang wajah itu memenuhi ruang lamunanannya. Itu adalah antara saat-saat sedih yang tidak mungkin dilupakan. Melihat isteri tersayang bertarung dalam keadaan yang amat payah, membuatkan mejar Johari hampir kering kolam air mata.

Benar pesan isterinya dulu. "Kekuatan itu sama seperti proses luka bercantum menjadi parut!" Sempat sebelum dia pergi untuk kali terakhir, sekuntum restu diberikan oleh isterinya itu walaupun dalam keadaan hanya sedikit angguk dan getar bibir tanpa suara.

Kini, kekuatan yang diperolehinya daripada pesan Nordia akan digunakannya juga. Kekuatan untuk bersedia menjadi manusia yang sabar berdepan dugaan. Apatah lagi untuk berdepan 65 pelatih yang amat bermasalah ini.

Sebenarnya dulu, semua kawan-kawan lainnya subuh-subuh lagi menolak ketika diberi peluang mengetuai kem ini. Kawan-kawannya itu bukan menolak tanggungjawab, tetapi barangkali membuka peluang buat mejar Johari memperkukuhkan diri dan emosi selepas berdepan kehilangan sesuatu yang amat istimewa dalam hidupnya - kehilangan isteri yang hanya sempat dinikahinya selama tiga tahun!

Kala itu mencelah pula pesan Fadzil. "Ilmu yang kau ada, gunakan. Selamat bertugas!" Semua yang didepaninya ini penuh dengan hikmah dan tanggungjawab. Menjadi seorang komandan Kem Program Khas Khidmat Nasional. Kem yang hanya dihuni oleh pelatih yang bermasalah dan tidak berdisiplin!

"Tuan!" lamunannya tersentak. "Saya serah semua pada Senik dan Sahar. Senik ambil lelaki, Sahar ambil yang perempuan!" terasa suara Fadilah bagai berbisik di cuping telinganya. Dan mejar Johari pun berpaling. Anak Minang Kuala Pilah itu tergelak menampakkan susunan giginya yang putih bersih.

"Kenapa?" mejar Johari tertanya keliru.

"Tuan berangan ke?" Fadilah tergelak.

 Barulah mejar Johari sedar rupanya dia langsung tidak menjawap apa-apa sewaktu Fadilah memberitahunya tentang perbarisan pelatih yang telah diserahkan kepada Sahar dan Senik untuk menguruskannya.

Apa lagi yang mampu dikatakannya, kecuali menghadiahkan gelak tawar. "Entahlah...macam-macam tadi saya fikirkan!" dan gelaknya bersambung lagi. Di hujung kekehnya itu, Fadilah memasukkan kekehnya pula, sebelum kedua-duanya tersenyum menggeleng-gelengkan kepala.

 Bola matanya pegun semula memerhatikan gerak-geri Sahar dan Senik yang dilihatnya berusaha sebaik mungkin mengawal keadaan yang kelam-kabut. Nyaring suara Sahak berbaur dalam suara serak Senik menguruskan perbarisan 65 pelatih di tengah padang. Tangan jurulatihnya itu sekejap mengacung ke udara, sekejap kemudian ke kiri dan ke kanan mengarah dan mengatur perbarisan. Sekejap mereka berpaling. Sekejap-sekejap yang lain dilihatnya Sahar dan Senik menggeleng-gelengkan kepala.

"Tengah peninglah tu tuan...tengok tu!' Fadilah menambahkan lagi perisa suasana ketika itu. Bibirnya dijuihkan ke arah Sahar dan Senik di tengah padang. Mejar Johari mengalih pandang ke arah muncung itu terhala. Dia tergelak. Kemudian dia mengalih pandang tepat ke muncung Fadilah pula. Mereka berlawan pandang. Mejar Johari tersenyum. Akhirnya Fadilah pura-pura menarik muka.

"Tuan ni!" tangkis Fadilah semacam protes tapi manja.

 Dan akhirnya mereka tertawa. Mulai saat ini banyak yang Sahar dan Senik kena tahu. Mejar Johari pun memang mahu mereka tahu. Banyak yang mereka mesti tahu. Mulai hari ini kesiapsiagaan amat perlu. Empat objektif kenapa program ini diwujudkan menjadi sasaran. Betapa pun mereka akan diasingkan daripada pelatih lain di seluruh negara, tugas menanam semangat patriotisme, memupuk perpaduan kaum dan integrasi nasional, membentuk perwatakan positif dan mendedahkan mereka kepada khidmat komuniti mesti dicapai.

Dalam mencapai matlamat itu, mejar Johari tahu kesabaran mesti ditegakkan setinggi boleh. Kalau tidak, jadilah seperti kata Fadzil; bersedialah berdepan hal-hal luar duga. Dua hari sebelum ini pun semua urusetia yang membantunya telah menjanjikan kesanggupan dan tahap kesediaan yang amat tinggi. Termasuklah dari Fadilah, Senik dan Sahar yang akan menjadi jurulatih utama.

Matlamat dan tahap piawai yang disasar mesti dicapai. Walau nakal mana sekali pun, semua mesti bersabar. Mejar Johari tegaskan semua itu demi untuk sebuah kejayaan.



"Kalau sesiapa berdepan masalah, beritahu saya. Ini kem khas...kita kena ingat. Paling penting kena kawal emosi. Mereka adalah anak-anak yang perlukan perhatian. Walaupun perangai mereka pelik sikit...ingat..tugas kita yang rumit dan sulit mesti dijalankan dengan cara penuh berhemah!"

Mejar Johari ingatkan lagi. "Api jangan dilawan dengan api. Sekali kita tersilap, seluruh program untuk mereka akan menemui kegagalan!"

Bola matanya merayap ke merata arah. Tiba-tiba hatinya tersentak. Bibirnya bergetar-getar. MasyaAllah! bisik hatinya.

Dalm sibuk semuanya berbaris, seorang daripada mereka keluar barisan dengan selamba. Mejar Johari amat terkejut memerhatikan keadaan yang sedang berlaku itu. Budak lelaki kurus tinggi, berbangsa Cina itu keluar selamba ke tepi padang kawad.

Sahar dan Senik melontarkan suara ke udara, memanggil budak lelaki itu. Tapi dia masih buat selamba. Dia tunduk. Kemudian mencekak pinggang. Kemudian tunduk lagi dan kemudian memuntahkan sesuatu dari mulutnya.

"Sahar!"

"Ya tuan!"

"Bawa budak tu jumpa saya!"

"Baik tuan!"

Didepaninya budak lelaki berambut lurus itu, separuh kehairanan.

Mejar Johari mahu tahu apa sebenarnya. "Boleh bagitau saya, nama kamu?"

Budak itu merenung muka mejar Johari. Lambat kemudian baru dia menjawab. 'Freddie.."

"Nama penuh?...Freddie apa?"

"Err..gua punya nama papa pun mau ka tuan?"

Mejar Johari terasa pula dipermainkan. Fadilah telah datang semula. Dia mengetap bibirnya mendengar jawapan budak itu.

"Berdiri elok-elok boleh?" tegur Fadilah.

"Baik puan.."

"Freddie apa?" mejar Johari mengulang tanya.

"Freddie Lee Guan Chun!"

 Dan serentak itu Fadilah mencari-cari nama dalam senarai di dalam fail yang diambilnya dari tangan mejar Johari. Disemaknya satu persatu nama di dalam senarai itu.

"Ada tanda merah tuan.." Fadilah berbisik. Dia menunjukkan nama Freddie Lee Guan Chun itu kepada mejar Johari. Mejar Johari angguk.

"Kenapa kamu keluar perbarisan? Kamu sakit? Ada masalah?" tanya mejar Johari.

"Ohhh..tak boleh ka?..saya muntah...tak boleh tahanlah tuan..manyak panas!" jawapnya selamba menyebabkan Fadilah menyiku lengan Sahar. Sahar tersenyum.

Kalau jawapan yang diberi Fredie itu belum cukup melucukan, selipar yang dipakainya menambahkan lagi lawak di padang kawad ini. Tidak siapa sedar dia seorang berselipar di padang kawad. Sahar terasa malu apabila ditegur oleh mejar Johari berkenaan selipar yang dipakai budak bernama Freddie itu.

"Kasut mana? Mana boleh pakai selipar dalam padang kawad!"

"Gua tak taulah tuan...tadi gua ingat ha...masa gua tidur dalam bas, ada kawan manyak jahat sudah angkatlah tuan," jawabnya ringkas tapi laras bahasanya berterabur dengan pelat dan pekat yang amat luar biasa!

Sebelum dirinya akan ikut tertawa, mejar Johari segera mengarahkan Sahar membawa semula Freddie ke tengah padang dan mengarahkan juga kesemua pelatih dihantar ke bilik penginapan masing-masing.

Fadilah bersuara seperti berbisik. "Macam ini pun ada ya tuan..."

Mejar Johari membalas dengan kekehan panjang dan kemudian menarik hujung tudung Fadilah. "Jom...nak ajak Fad lunch"

Fadilah terdiam.

Mejar Johari mengulangi ajakan. "Boleh?"

Fadilah mengerdipkan mata bundarnya itu dua kali. Kemudian tersenyum mengekori bosnya ke kereta di belakang pejabat urusetia.

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENERIMA SESUATU DARIPADA DATUK BANDAR SHAH ALAM, DATUK MAZALAN MD NOOR 10.10.10