YANG buta datang bertongkat, yang pekak tertanya-tanya. Yang kurap tergaru-garu, yang bisu terkumat-kamit. Yang bermotosikal lupa menongkat, yang berkereta lupa menutup enjin.
Yang besar meredah sahaja, yang kecil menyusup-nyusup. Yang lelaki berdekah-dekah, yang perempuan tersenyum-senyum.
Kuah tertumpah ke baju, air tercurah ke seluar. Duduk punggung tersepit bangku, berdiri lenguh tersenget-senget. Yang tinggi memandang terus, yang katik terdongak-dongak.
Kompang dibalun pecah, gitar dipetik putus. Peluh menitik-nitik, ludah ditelan terus. Hadiah berbakul-bakul, sampul penuh di raga.
Malam ini sempurnalah nanti, Zaquan menikahi Ayu Raudhah. Rasmi seorang jadi laki, sempurna seorang jadi bini. SELAMAT PENGANTIN BARU BUAT ZAQUAN DAN AYU. Kahwin biar sekali. Bercerai biar kerana mati.