nuffnang ads
Monday, January 3, 2011
WAJARKAH KUARI DI KAKI BANJARAN GUNUNG LEDANG?
KITA ketepikan dulu soal sama ada ia berlesen atau tidak, atau bagaimana lesen boleh diberikan bagi menjalankan kerja memecah batu di satu kawasan di kaki banjaran gunung Ledang!
Soalan paling penting yang perlu dijawab oleh kerajaan negeri Johor ialah wajarkah sebuah kuari beroperasi di kaki gunung yang menghijau dan terletak pula hanya beberapa ratus meter dari jalan menuju ke pekan Jementah.
Tinjauan dilakukan mendapati tidak kelihatan papan tanda yang jelas mengenai kuari berkenaan (atau tersorok letaknya). Sementara bonggolan batu besar dilihat dengan jelas dari jalan raya dalam keadaan yang boleh disifatkan amat berbahaya.
Apakah kerja 'merosakkan' kaki banjaran gunung ini sesuatu yang telah difikirkan semasak-masaknya oleh kerajaan negeri atau adakah ia dilakukan tanpa pengetahuan? Bagaimanapun, jika 'ditakdirkan' ia dilakukan tanpa sedar, ia adalah sesuatu yang mendukacitakan kerana kuari berkenaan terletak hanya di tepi jalan yang amat sibuk.
Seorang pekedai runcit di pekan Jementah ketika ditanyakan kewujudan kuari itu berkata, ia sememangnya beroperasi secara lesen, tetapi kedudukan kuari itu yang terletak di tepi jalan sering mencetuskan tanda tanya orang ramai.
Seorang lagi penduduk berdekatan, pula hanya menggeleng-gelengkan kepala apabila ditanya mengenai kuari itu. Katanya, mungkin ia berlesen tetapi menjejaskan alam sekitar, terutama kerana ia terletak hanya beberapa kilometer dari dua pintu masuk utama ke gunung berkenaan.
Usaha menemui pekerja atau pengurusan kuari itu gagal kerana tiada sesiapa dilihat berada di sebuah premis buruk dipercayai dijadikan mini pejabat operasi syarikat kuari itu, semalam.