Dengan artikel terbarunya, Zaini, timbalan pengarang Utusan menulis merayu konon meminta orang Melayu selamatkan Selangor agar tidak menjadi seperti Singapura yang dikuasai Cina, hanya kerana masalah Mohamed Khusrin tidak diterima sebagai SUK oleh kerajaan PR, terutamanya oleh Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim.
Alangkah jijik, mual dan loya sebuah tulisan yang konon ditulis oleh seorang wartawan kanan. Alangkah mengkalnya minda seorang wartawan Melayu, konon atas nama mempertahankan Umno dan kerajaan Barisan Nasional, tetapi secara sedar telah melakukan pengucapan yang langsung tidak bertanggungjawab dan amat berbahaya.
Zaini telah dengan sengaja membangkitkan kemarahan orang Melayu Selangor dan kaum lain di negeri paling kaya ini dengan tulisannya itu sekaligus menjadi satu lagi liabiliti amat berat sebenarnya untuk dipikul oleh Umno menjelang pilihanraya akan datang.
Konon mendakwa Selangor akan jadi negeri penguasaan kaum Cina di tanah Melayu adalah satu pandangan jamban yang amat busuk dan melantung maksud yang tersirat di sebaliknya. Hanya kerana Mohamed Khusrin ditolak sebagai SUK, Zaini tergamak menulis artikel yang sedemikian karat dan penuh nanah ini.
Apakah kaitan penolakan Mohamed Kuhsrin dengan penguasaan orang Cina dalam negeri Selangor, sedangkan ia hanyalah jawatan yang tidak bersifat politik. Malah Menteri Besar Selangor sendiri bernama Khalid Ibrahim yang jelas bangsanya Melayu.
Zaini nampak sangat dangkal ilmu serta pengetahuannya tentang politik dan struktur pentadbiran negara sehingga membuat hipotesis di luar ujian. Konon Singapura menjadi sesuatu yang amat menakutkannya adalah sesuatu yang boleh kita anggap sebagai mimpi Zaini ketika baru akil baligh.
Bukan bermaksud Selangor akan menjadi satu lagi Singapura. Namun Zaini harus sedar jika mahu dibuat perbandingan, orang Melayu di Singapura lebih tinggi nilai dan taraf hidupnya berbanding Melayu di Malaysia. Apakah Zaini tidak memperolehi statistik tentang pemilikan harta orang Melayu di sana? Sedangkan orang Melayu yang dipimpin oleh pemimpin Melayu sejak 53 tahun lalu hanya kembung dengan slogan retorik apabila bercerita tentang pembelaan terhadap nasib orang Melayu, khususnya dalam sektor ekonomi.
Besar sangatkah kejayaan Umno menghadiahkan 6 peratus ekuiti ekonomi orang Melayu sejak merdeka sehingga kini sehingga Zaini terberak-berak mempertahankan kononnya pemimpin Melayu Umno amat-amat berjaya di negara ini.
Sepatutnya Zaini bertindak di sebaliknya, iaitu menibai cukup-cukup pemimpin Umno kerana membiarkan Melayu melarat dan menjadi bangsat di tanah air sendiri selepas memerintah sekian lama, berbanding menulis ketakutannya yang tidak berasas langsung tentang Selangor konon akan menjadi seperti Singapura.
Sikap anak Melayu seperti Zaini ini yang tidak tahu mengukur dan menilai yang mana intan atau kacalah menyebabkan Melayu akan terus ketinggalan dan musnah di negara sendiri, bukan disebabkan oleh Selangor atau negeri lain diperintah oleh Pakatan Rakyat.
Yang pasti Zaini dan Utusan Malaysia akan menjadi liabiliti amat berat untuk dipikul dan diusung oleh Umno menjelang pilihanraya akan datang kerana artikel-artikel beliau akan menyebabkan orang Melayu semakin loya dan muak dengan kerajaan sedia ada.
Percayalah, selain Zaini dan Utusan tersungkur, kerajaan sedia ada juga boleh disungkurkan kalau beginilah cara sebuah akhbar diterbitkan di negara ini - penuh busuk pekung dan kaya sarat dengan unsur-unsur berbaur perkauman yang amat berbahaya!