SEKUMPULAN 15 pelajar UiTM yang menyertai kegiatan mendaki puncak Bukit Broga di Semenyih, pagi tadi kesedihan apabila seorang rakan mereka cedera parah akibat dihempap bongkah batu ketika baru memulakan pendakian.
Norhanani Shahim, 22, yang dilaporkan terpisah dari kumpulan rakan-rakannya, ditemui hanya selepas dua jam kumpulan itu mencarinya. Mereka turut kehairanan bagaimana dalam sekelip mata Norhanani hilang daripada kumpulan mereka. Kumpulan pelajar terbabit memulakan pendakian jam 8 pagi.
Dia ditemui terbaring dalam keadaan bongkah batu menghempap badannya. Rakannya, Mohd Khairul Nazmi, menemui Norhanani di lereng Bukit A, di kawasan tanah tinggi yang sering menjadi tumpuan ramai pendaki itu.
Berikutan penemuan mangsa, kawan-kawannya menghubungi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) meminta bantuan. JPAM tiba jam 11 pagi dan membantu mengangkat bongkah batu berkenaan.
Norhanani ketika ini dirawat di Hospital Kajang akibat kecederaan parah di bahagian tulang belakangnya.