ISU novel Interlok membuka dimensi baru. Ada bait-bait perkauman mula terdendang bila kompromi tidak berhasil menutup celaru.
Esok dengar khabarnya, perhimpunan khusus dari penyokong novel itu, tentunya majoriti adalah Melayu akan diadakan. Gapena tidak boleh disalahkan. Persatuan penulis dan penulis Melayu khasnya tidak boleh dituding jari ke arah mereka.
Mereka mahu menyatakan sokongan dan mahu meluahkan apa yang mereka rasa betul. Jika kaum keturunan India tidak boleh menerima dan meluahkan rasa, Gapena dan ahli-ahli serta penyokongnya juga rasa berhak untuk bertindak serupa, berhimpun dan meluahkan rasa menyokong penggunaan novel itu di sekolah.
Ya, Interlok membuka dimensi baru. Percayalah, Interlok akan membuka kesedaran akal tentang sensitiviti yang kadang-kala tidak bertempat dan berakal.
Hanya kerana perkataan dan ayat-ayat tertentu yang misalnya berbunyi paria, maka bestari akal tidak digunakan secara wajar.
Hidup dalam budaya, agama dan ragam susila yang rencam dan majmuk seharusnya mengajar kita menggunakan akal secara bijak, tetapi akhir-akhir ini ia semacam tidak. Novel yang tidak berdosa mencatat lumrah kehidupan yang berlaku, menjadi mangsa. Akhirnya ia kalut dan melalut sehingga membiak jauh ke pangkal hati.
Apakah Melayu harus membuang perkataan Malaysia yang bermakna Melayurugi atau India harus membuang perkataan Tanjung Keling dan digantikan nama baru. Atau dibuang sahaja perkataan kelingking kerana ia nanti akan jadi sensistif jadinya?