JANGAN sangka dan siapa sangka. Kecil jangan disangka anak. Nangka jangan disangka cempedak. Rosmah Mansor memang hebat orangnya. Dengar cerita di Oman, dia dikagumi oleh Menteri Pembangunan Sosial negara itu, Dr Sharifa Khalfan.
Menurut Sharifa Khalfan, dia memang kagumkan isteri Perdana Menteri itu. Siapa sangka? Jarang dan belum pernah saya lihat isteri Perdana Menteri melakukan lawatan kerja sebegini hebat disambut orang. Maka tidak salah tulis A Kadir Jasin, bukan mustahil kalau Rosmah bertanding pilihanraya, dia boleh menang dan tidak mustahil juga Rosmah boleh menjadi Perdana Menteri. Siapa sangka? Bukan salah pun?
Kalau bertanding tulis A Kadir Jasin, Rosmah boleh bawa bintang Bollywood masa berkempen untuk tarik minat orang ramai datang mendengar ceramah. Sementelah pula orang Melayu bukankah hidupnya penuh dengan hiburan dan menjadikan artis Hindustan @ Bollywood sebagai nyawa sebuah keseronokan yang tiada hentinya.
Ya, Rosmah boleh jadi Perdana Menteri. Saya setuju dan kalau ada orang lain setuju, tidak salah untuk mereka bersetuju. Tapi kita pun kena ingat mahu jadi Perdana Menteri, bukan senang. Bukan senang dan tidak senang sebenarnya.
Kalau silap gaya jadi macam Presiden Tunisia. Bila rakyat menolak dan memberontak, dia pun cabut lari. Bawa emas 1.5 tan sekali!