nuffnang ads

Tuesday, January 11, 2011

PROGRAM TRANSFORMASI EKONOMI: HASILNYA BILA?

ORANG kampung asyik bertanya. Cerita fasal Program Transformasi Ekonomi hari-hari berbuih dicakapkan pemimpin negara.

Sampai naik keruh buih air liur bercakap soal itu. Bercakap soal juta-juta, fasal bilion-bilion. Hari ini orang kampung pun pakat-pakat tekan perut ketawa.

Cakap sahaja hari-hari, tapi hasilnya bila? Sampai rakyat kebulur? Pemimpin kena tahu, rakyat mahu makan nasi setiap hari. Bukan makan nasi sebulan atau setahun sekali!

Kalau dok cerita transformasi tapi hasilnya bertahun-tahun lagi dan paling melucukan entah jadi entah tidak hasilnya, rakyat rasa macam tengok wayang kulit sahaja.

Sementara tunggu pelaburan juta-juta dan bilion-bilion itu menjadi kenyataan dan mendatangkan hasil (kalau betul berhasil) semua barangan yang digunakan rakyat terus naik mencanak. Rakyat pun akhirnya akan mampu beli sardin untuk tambah sakit gout!

Bercerita soal bantu rakyat, tak perlulah macam nak rak bercerita fasal transformasi itu. Betul! Rakyat sebenarnya lebih tidak percaya daripada percaya. Mereka anggap semua itu macam cerita UFO atau cerita makhluk asing.

Dulu pun mereka pernah dengar fasal DEB, fasal Bumi Hijau, fasal 1Kampung satu itu, 1Kampung satu ini. dan macam-macam lagilah. Hasilnya? Habuk!

Oleh itu daripada menjerat kebencian rakyat dengan cerita wayang kulit tentang transformasi ekonomi, baik sahaja buat diam-diam. Pergi kerah semua agensi kerajaan, kerah pejabat tanah dan kerah semua mekanisme kerajaan untuk buka ladang pertanian. Sekarang rakyat letih mendengar cerita, tapi cerita kosong. Sekarang rakyat rasa bosan mendengar cerita juta-juta. Tapi semua itu cuma atas kertas. Masih atas kertas dan tidak bergerak pun ke dalam dunia realiti. Hanya bagai fantasi!

Eloklah sahaja kalau kita buka ladang minggu ini. Semua tanah kerajaan yang kosong pajakkan kepada rakyat selama 10 tahun. Mari kita tanam bawang secara besar-besaran, tanam kelapa, tanam tebu dan tanam padi sampai termuntah-muntah rakyat makan. Mari kita buat transformasi penuhkan perut rakyat yang tengah berbunyi sekarang. Itu lebih afdal daripada cerita peruntukan juta-juta dan kertas kerjanya setinggi gunung, namun hakikatnya semua itu masih di celah bibir dan di atas meja!

 Ada arti?

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENERIMA SESUATU DARIPADA DATUK BANDAR SHAH ALAM, DATUK MAZALAN MD NOOR 10.10.10