nuffnang ads

Tuesday, January 11, 2011

CERITA ORANG LUPA

SAHABAT saya ini pun menghantar isterinya ke pasar. Dalam perjalanan isterinya memberitahu sahabat saya supaya menunggu sehingga dia siap membeli sayur dan ikan. Sahabat saya ini pun mengangguk laju. Maknanya dia faham.

Sebaik tiba di pasar, isterinya berpesan lagi. "Bang...tunggu sampai saya siap beli barang!". Sahabat saya mengangguk macam burung terkukur terjumpa pasir. Dia memerhatikan jam tangannya. Jam 7.45 pagi. Kemudian telefon bimbit sahabat saya berbunyi. Mukanya berkerut. Keraninya di pejabat menghubungi, memberitahu sesuatu.

Soal kerja di pejabat, dia amat prihatin. Lalu dia masukkan gear satu dan bergeraklah kereta terus ke pejabatnya. Di pejabat selesai menguruskan sesuatu, dia didatangi kawan lain dari jabatan lain. Fasal borak, memang sahabat saya suka berborak. Berdekah-dekah dan bertepuk-tepuk bahu dia punya suka berborak dengan kawannya itu. Sesekali tersembur air liurnya.

Jam 11 pagi, dia masih berborak lagi. Tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi. Terus sahabat saya itu menepuk dahi berkali-kali.

"Mampus aku...mampus aku. Mak Andeh tunggu dah dekat 3 jam lebih. Aku janji tunggu tadi!" dan dia meminta maaf dengan kawannya terus memecut kereta macam pelesit.

Di dalam kereta dalam perjalanan pulang, isterinya membebel secara marathon. Sahabat saya buat muka perenang gaya bebas dan kuak lentang!

"Abang minta maaf...abang lupa!"

"Dah tau dah!" akhirnya isteri sahabat saya melontarkan kata-kata itu. Selepas menyalami isterinya, sahabat saya terus ke pejabat semula.

Kali ini tiba di pejabat dia meletakkan kereta di luar pagar kerana tempat letak kereta di bangunan yang disediakan telah penuh.

Turun kereta, dia terus melangkah masuk ke pintu pagar. Sahabat saya nampak dari jauh pengawal tersenyum-senyum.

"Selamat pagi bos!" ucap pengawal keselamatan.

"Selamat pagi. Engkau ni dari tadi asyik senyum aje kenapa?" sahabat saya sambil tergelak menepuk mesra bahu pengawal keselamatan syarikat yang amat dikenalinya itu. Dua pengawal keselamatan yang bertugas masih tersenyum.

"Aku pijak jugak budak ni kang!" akhirnya sahabat saya berlawak lagi apabila pengawal keselamatan itu masih tersenyum-senyum sambil kedua-duanya saling berpandangan sesama sendiri.

"Engkau ni apa hal? Nak minta belanja minum ke?" sahabat saya masih berlawak lagi.

Kurang seminit, salah seorang pengawal keselamatan pun terus memberitahu sahabat saya itu. "Bos handome. Tapi kan bos...hari ini kurang sikitlah!"

"Kenapa plak?"

"Bos pakai tali leher semua siap. Tapi kasut bos mana? Bos pakai selipar ajer?"

Terkedu sahabat saya itu. Baru dia sedar sejak pagi menghantar isterinya ke pasar, dia hanya memakai selipar.

"Nah..ambil kunci kereta ni. Kau tolong ambilkan kasut aku dalam kereta tu!"

Sekali lagi pengawal keselamatan itu tertawa. "Tak payah bos. Tak payah pakai kunci. Cuba bos tengok tu..pintu kereta pun bos tak tutup masa turun tadi!"

Sekali lagi sahabat saya terkena. Selepas kasut diambilkan pengawal, dia pun memakai kasut di depan pondok kawalan dengan selamba.

Tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi pula. Dia terhenti menyarung kasut dan menjawab panggilan. Rupanya isteri sahabat saya menelefon lagi.

Sekali lagi sahabat saya menepuk dahinya. Pengawal keselamatan pun berubah wajah, melihat keadaan bos mereka yang kelam-kabut hari itu.

"Kenapa bos? Ada apa bos?"

 "Aku lupa lagi! Aku tak bagi kunci rumah kat mak andeh! nah...kau tolong hantar kat rumah aku!" dan dengan selamba selepas menyerahkan kunci kereta dan kunci rumah, sahabat saya terus masuk ke pejabatnya. Mulutnya sentiasa terkumat-kamit. Saya tak pasti dia membaca ayat-ayat suci atau sedang berbakul memaki diri sendiri!

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENERIMA SESUATU DARIPADA DATUK BANDAR SHAH ALAM, DATUK MAZALAN MD NOOR 10.10.10