SETIAP kali mahu ke kedai, gadis 19 tahun yang mengalami masalah mental itu mesti melalui depan rumah seorang duda berusia 66 tahun dan setiap kali melintas rumah itu, duda itu akan memujuknya masuk ke rumahnya dulu.
Setiap kali dia bersetuju singgah ke dalam rumah itu, setiap kali itu jugalah tubuhnya diratah duda yang kematian isteri sejak empat tahun lalu di Felda Jenderak Utara, Temerloh. Paling menjijikkan hubungan seks itu dirakamkan pula oleh duda durjana berkenaan.
Namun mangsa tidak pernah memberitahu perbuatan jirannya itu kepada keluarganya, sehinggalah pada satu hari seorang rakan bapanya menunjukkan rakaman video hubungan seks seorang lelaki tua dengan wanita muda.
Rakan bapa mangsa berbuat demikian kerana percaya wanita yang dirakam perbuatannya melakukan hubungan seks itu adalah anak beliau.
Bapa mangsa yang berusia 40-an kemudian membuat laporan polis mengenai kejadian itu dan bertindak atas laporan berkenaan polis menahan duda terbabit. Ketua Polis Daerah Temerloh, ACP Md Nor Mansor, mengesahkan menerima laporan.
Beliau turut berkata, polis merampas telefon bimbit yang mempunyai rakaman aksi itu manakala mangsa dihantar ke Hospital Haji Ahmad Shah untuk pemeriksaan lanjut.