POLIS menahan dua remaja berusia 18 tahun selepas seorang pelajar perempuan tingkatan tiga membuat laporan mendakwa dirinya dijadikan hamba seks selama tiga bulan di antara Oktober dan Disember tahun lalu.
Kedua-duanya ditahan di rumah masing-masing di Felda Jenderak Utara dan di Kampung Lipat Kajang, Kerdau Temerloh.
Mangsa berusia 15 tahun itu mendakwa kedua-dua suspek mengambil kesempatan memperkosa dirinya, selepas mengugut agar insiden itu tidak dilaporkan kepada keluarganya.
Semua kejadian itu bermula apabila mangsa mengikuti rakan sekelasnya untuk belajar di rumah salah seorang suspek. Mangsa mendakwa suspek telah mencabulnya ketika rakannya itu kembali ke rumah untuk mengambil buku rujukan.
Mangsa, anak sulung lima beradik juga mendakwa perbuatan itu dilakukan berulang kali selepas itu dan salah seorang suspek telah membawa ke rumah neneknya(suspek) di felda, sebelum merogolnya.
Mangsa yang trauma dengan kejadian itu mengadu masalahnya kepada rakan sekolah sebelum ia dipanjangkan kepada seorang guru agama. Guru agama terbabit kemudian memaklumkan kejadian itu kepada keluarga mangsa.
Laporan polis dibuat kelmarin di Temerloh manakala mangsa dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah untuk pemeriksaan lanjut.
Ketua Polis Daerah, ACP Md Nor Mansor mengesahkan laporan dibuat dan kedua-dua remaja terbabit direman selama dua minggu bagi membantu siasatan.