SEORANG gadis bawah umur yang lembam, berlari pulang ke rumahnya sejauh satu kilometer tanpa berbaju, selepas dirogol oleh seorang lelaki yang juga jirannya di sebuah kebun kelapa di Kota Marudu, kira-kira jam 7 malam Isnin lalu.
Tanpa memperdulikan orang yang memerhatikan, mangsa berlari ke rumah dan mengunci dirinya sambil menangis mengenang nasib dirogol jiran yang durjana.
Berusia 14 tahun, mangsa kemudian menceritakan apa yang telah berlaku kepada ibunya yang berasa pelik apabila mendengar dia asyik menangis di biliknya sehingga jam 1 pagi.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu, DSP Mohd Isa Yusof, berkata berikutan pendedahan mangsa, ibunya membuat laporan polis dan bertindak daripada laporan itu, sepasukan polis menahan seorang lelaki berusia 21 tahun.
Lelaki itu kata Mohd Yusof adalah jiran mangsa dan dia ditahan di rumahnya yang terletak tidak jauh daripada rumah keluarga mangsa.
Suspek katanya, dipercayai memujuk mangsa mengikutnya ke sebuah pondok dalam kebun kelapa ketika mangsa dalam perjalanan pulang dari sekolah.
Beberapa barang bukti termasuk baju yang dipakai mangsa turut ditemui di tempat kejadian dan dihantar ke makmal untuk siasatan manakala mangsa dihantar ke Hospital Kota Marudu untuk menjalani pemeriksaan lanjut.
Suspek ditahan reman seminggu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.