nuffnang ads

Monday, January 3, 2011

LEMBAPNYA URUSAN PENDAFTARAN UiTM: URUSAN KAD PINTAR YANG TIDAK PINTAR

KADANG-KALA pengajaran paling baik untuk memperbaiki keadaan adalah dengan mencubit. Apatah lagi bagi sebuah institusi pengajian tinggi yang telah tua dengan pengalaman seperti Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Beginilah keadaan pelajar yang terpaksa menunggu siapnya kad pintar yang diuruskan secara kurang pintar di UiTM cawangan Segamat. Ia amat memakan masa sehingga ada yang duduk mencangkung dan termenung!
Urusan pendaftaran pelajar bagi sesi baru kepada pelajar ijazah dan lepasan diploma di UiTM kampus Segamat hari ini, kelihatan aneh dan pelik apabila dijalankan secara tidak lancar. Ini mengakibatkan kebanyakan pelajar yang terbabit terpaksa membuang masa berjam-jam semata-mata untuk proses pendaftaran.

UiTM membuka pelbagai jenis kaunter untuk pendaftaran. Misalnya, ada kaunter fail, semak fail, pulangkan fail, keselamatan, perpustakaan, bendahari dan kaunter untuk cetakan surat tawaran.

Sekali pandang urusan ini tiada apa-apa salahnya, tetapi mengenang selepas berpuluh tahun ia diwujudkan, tentulah bagi yang pernah menempuh zaman kehidupan sebagai pelajar di universiti itu dulu-dulu akan tertawa dan bosan.

Sebagai contoh, kenapa bersusah payah membuka kaunter cetakan surat tawaran, walaupun ia dikatakan untuk membantu calon yang tidak membawa salinan surat tawaran. Ini kerana semua perkara berkaitan latar belakang calon yang ditawarkan kursus tertentu, telah sedia ada di dalam sistem maklumat berkomputer UiTM.

Ini hanya membuang masa pelajar dan ibu bapa, manakala pejabat untuk membuat kad pintar belajar pula bergerak melaksanakan tugasnya seperti seekor siput. Berbarislah pelajar di tengah panas terik menunggu seorang demi seorang pelajar disiapkan kad matriks berkenaan.

Kita faham, hal yang sama juga berlaku berpuluh tahun lalu dalam keadaan yang serupa dan sama. Pendaftaran memang memakan masa dan meresahkan semua pelajar.

Tidakkah baik sekiranya UiTM  hari ini mencari jalan singkat dan menjimatkan masa, apatah lagi dengan bantuan dan sokongan komputer dan internet serta pangkalan data yang amat bersistematik. Kenapakah soal kertas masih menjadi perkara utama sedangkan kita hidup di dalam dunia paperless atau dunia tanpa kertas!

Sebagai bekas pelajar ITM dan bekas kakitangannya, saya berasa amat percaya UiTM mampu melakukan sesuatu terhadap masalah pendaftaran yang begitu siput sifatnya hari ini bagi memberi keselesaan dan menampilkan imej canggih universiti itu pada pandangan sanak-saudara pelajar yang memerhatikan penuh hairan dan pelik terhadap sistem yang diamalkan hari ini.

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENERIMA SESUATU DARIPADA DATUK BANDAR SHAH ALAM, DATUK MAZALAN MD NOOR 10.10.10