KADANG-kadang manusia ini lucu. Kalau boleh semua kemahuan dalam dirinya mahu dipenuhi, walaupun secara realiti dia sedar sesetengah kemahuan itu adalah di luar jangkauan. Ada yang sampai berangan-angan mahu menukar acuan dan bentuk sosial dan terma di sekeliling hidupnya, supaya semuanya sesuai dan dapat dipadankan dengan kehendak dirinya sahaja. Semua kehendak itu mereka mahu dipenuhi agar mereka berasa selesa dan perasaan mereka juga tidak terluka.
Mereka hanya memikirkan keselesaan dan kesesuaian yang hanya menepati perasaan dan fikiran sendiri, sehingga mereka terlupa keselesaan dan kesesuaian juga adalah hak orang lain. Mereka ini seakan-akan tidak boleh berkongsi bahagian. Jika yang pahit adalah bahagian mereka, mereka tetap mahukan yang manis sahaja, sepanjang masa. Soal pahit atau manis ini, apatah lagi kalau ia melibatkan realiti hidup dalam negara yang masyarakatnya rencam dan majmuk sepatutnya kita kunyah dengan hati terbuka. Jangan kerana demi mahu memenuhi keperluan diri sendiri kita menolak terus soal konsep memberi sebaliknya hanya mahu menerima.
Demikian sedikit sebanyak konflik melibatkan Interlok tercetus. Asasnya bukan politik atau maruah, tetapi dipengaruhi unsur tamak untuk memiliki atau memenuhi kehendak sendiri. Kedua adalah kerana berasa diri mesti kelihatan tinggi dan lebih daripada orang lain. Maknanya terbaik itu milik mereka dan yang kurang baik itu peduli lantaklah. Cara untuk menikmati dan memastikan itu tercapai ialah dengan mendesak agar dipenuhi kehendak! Inilah puncanya.
Bukan rahsia, Interlok adalah garapan nilai sosial yang diangkat menjadi novel. Asasnya adalah lumrah kejadian yang diceritakan secara betul dan terus-terang. Melayu dan Cina pun tercubit juga. Malah kalau direnung terma mengatakan Melayu itu malas seperti ada di dalam novel itu, ia adalah amat hina dan aib. Peliknya, Melayu tetap menganggap itu adalah novel. Novel adalah bahan baca dan bukan undang-undang di mahkamah atau buku peraturan yang menentukan betul atau salah. Novel adalah novel, seperti cermin yang memaparkan babak kehidupan secara jujur. Salahkah penulis mencatat babak kehidupan yang dilihatnya secara terus-terang. Apakah kita mahu penulis novel berbohong pada diri, kepada pembaca dan kepada kehidupan yang dirakam dan disalinnya ke dalam hasil sastera?
Kesilapan kita juga ialah kadang-kala terlalu berintepretasi sesuatu dengan tafsiran yang bukan-bukan, sedangkan hakikatnya tidak begitu.
Kalau semua mahu melihat sesuatu dengan tafsiran sendiri, maka akan hancurlah kehidupan, akan musnahlah sebuah negara!
Kenapa tidak? Kalau itu juga diamalkan oleh orang Melayu, iaitu melihat semua perkara bersandarkan sensitiviti semata-mata, nama Malaysia pun akan diminta tukar kepada nama lain oleh orang Melayu. Kenapa? Kerana orang Melayu boleh mentafsirkan MALAYSIA itu sebagai sesuatu yang hina bagi mereka kalau ditafsirkan MALAY sebagai MELAYU dan SIA itu sebagai RUGI. Maka orang Melayu akan membakar semua benda yang tertulis perkataan MALAYSIA kerana perkataan itu menghina dan menyindir mereka dengan maksud MELAYURUGI!