nuffnang ads

Sunday, January 2, 2011

DARI DALAM DIRI: KENAPA ORANG MELAYU MENYAMPAH DENGAN UMNO!

Hal paling utama adalah kerana orang Melayu telah letih, bosan dan muak menunggu untuk berjaya dalam bidang ekonomi di tanah airnya sendiri. Di segi ekonomi, orang Melayu secara realiti bukan sahaja terpinggir tetapi merempat berbanding kaum lain.

Rasional kenapa orang Melayu bosan, muak dan jelak? Mereka kini cenderung melihat negara lain, khususnya Singapura yang ditadbir oleh kaum Cina yang telah berjaya bangkit dan duduk lebih tinggi dari Malaysia dalam tempoh yang singkat. Singapura dilihat bukan sekadar berjaya tetapi amat berjaya apabila ditadbir oleh orang Cina. Sayangnya perkara ini tidak berlaku di negara kita. Melayu pemimpin majoriti, tetapi Melayu rakyat yang majoriti, tercicir.

Perbezaan kejayaan dan kecemerlangan kaum Cina mentadbir Singapura berbanding pemimpin Umno/Melayu memimpin Malaysia boleh diibaratkan kura-kura dengan arnab.

Pelik, lucu dan anehnya dalam hal ini, pemimpin Umno masih boleh mendabik dada mengaku dengan slogan retorik bahawa mereka juga telah berjaya. Akhirnya darjah meluat rakyat semakin meningkat dan mereka menyifatkan semua itu sebagai satu bentuk satira purbakala yang telah tidak lagi mampu menjadi lelucon. 

Pemimpin Umno kurang sedar, rakyat khususnya orang Melayu di Malaysia bukan semua mata dan hatinya berada dalam keadaan buta. Mereka semakin melihat perubahan persekitaran semasa yang sedang berlaku yang menimpa dan menghimpit kaum Melayu dengan perasaan sedih. Semuanya ini mereka lihat dengan mata kasar dan mata hati.

Bukan kiasan atau sindiran, tetapi satu realiti, di Singapura pemimpin keturunan Cina telah berjaya melepasi ujian kepemimpian dan mentadbir negara sehingga secara cekap dan adil telah meletakkan keturunan mereka menguasai segala hal di negara itu. Namun ingat, kaum Melayu tidaklah pula terlalu tertinggal berbanding kaum Melayu di Malaysia yang teras kepemimpinannya dikendalikan sendiri oleh mereka yang berbangsa Melayu!

Beranikah pemimpin Umno hari ini menafikan betapa cekap dan cemerlangnya pemimpin negara jiran itu mentadbir negara mereka? Di sana Cina diutamakan tetapi Melayu dan bangsa lain tidak dibiarkan tertinggal jauh!

Soal nisbah kejayaan kaum Melayu di negara ini yang teramat kecil berbanding kejayaan rakyat dari kaum lain mesti diberi perhatian paling tegas dan  bersungguh-sungguh.

Ini kerana bertolak dari premis inilah sejak kebelakangan ini, kenapa orang Melayu semakin jelak dan menolak! Perbezaan pada tahap penguasaan ekonomi Melayu berbanding kaum lain ini pula janganlah sewenang-wenangnya diletakkan salahnya pada rakyat kerana rakyat yang memilih mereka untuk jadi pemimpin. Maka pemimpinlah yang kena bertanggungajwab merangka pelan perancangan dan memastikan keberhasilan perancangan itu agar lanskap ekonomi dan sosial berbilang bangsa tidak terlalu ketara bezanya.

Rakyat Melayu tidak akan bersuara jika nisbah perbezaan penguasaan ekonomi di negara ini tidak terlalu besar, tetapi realitinya hari ini lihatlah. Orang Melayu sekadar menguasai 6 peratus ekonomi sahaja sedangkan puluhan peratus lain dikuasai oleh kaum lain.

Sebenarnya orang Melayu juga tidak marahkan bangsa lain yang berjaya, tetapi mereka marahkan pemimpin Melayu kerana gagal menunjukkan prestasi kepemimpinan yang giat, aktif dan cemerlang. Mahu dikelaskan sebagai apa kalau pemimpin Melayu selepas 53 tahun hanya mampu memastikan Melayu hanya memiliki sekitar 6 peratus ekuiti berbanding mimpi dan angan-angan DEB yang mereka rangka puluhan tahun dulu yang menjanjikan penguasaan 30 peratus ekuiti ekonomi untuk orang Melayu.

Diulangi. Hal ini adalah teras kemarahan orang Melayu dan titik tolak penolakan orang Melayu terhadap pemimpin Umno/Melayu masa kini. Pemimpin Umno tidak perlu melakukan kajian ilmiah untuk mencari kepastian atau sahih betulnya isu ini. Tidak perlu. Pemimpin Melayu boleh melihat sendiri angka dan statistik serta kedudukan fizikal orang Melayu dan bangsa asing dalam semua perkara di negara ini.

Banyak sebenarnya yang telah melukakan hati orang Melayu di negara ini. Orang Melayu, misalnya telah muak dengan konsep pengswastaan yang lebih banyak kelihatan gagal dari berjaya. Lihatlah pengswastaan air di Selangor misalnya yang kini mencetuskan konflik dan kontroversi. Tidak perlu kita buka buku kotor sejarah pengswastaan beberapa entiti perniagaan yang lain yang diperkenalkan oleh pemimpin negara kendalian Umno selama ini. Orang Melayu sejak akhir-akhir ini sering sahaja berkata di dalam hati mereka, siapakah yang untung dalam semua drama perancangan ekonomi itu.

Orang Melayu hari ini juga tidak mahu mendengar lagi perkataan AKAN atau SEDANG setiap kali mereka bersuara untuk memperbaiki kedudukan tahap dan taraf ekonomi serta sosial mereka di negara ini. Orang Melayu tidak lagi berfikiran seperti dulu, banyak ikut dan angguk. Dulu memang benar orang Melayu hakikatnya tunduk dan patuh kerana hormat demi mahu memberi peluang kepada pemimpin bangsa mereka menunjukkan bukti! Namun selepas berpuluh tahun merdeka, kalau beginilah struktur akhirnya, usahkan Melayu, semua bangsa di dunia ini juga akan meluahkan protes dan berontak mereka.

Orang Melayu mahu apa yang dikatakan hari ini, terbukti esok. Bukan lusa atau 53 tahun lagi hasilnya. Inilah di antara perkara yang pemimpin Umno nampak tetapi mereka tidak berbuat apa-apa. Kalau berbuat apa-apa pun hanyala sekadar untuk menjadi popular atas kebimbangan hilang undi dan sokongan rakyat.

Syukur juga penentangan orang Melayu terhadap pemimpin Melayu kebelakangan ini semakin meningkat. Ini kerana jika tiada trend menolak ini berlaku, sampai bila-bila pemimpin Melayu tetap layu matanya, enggan melihat secara luas apa yang tersirat dalam nubari bangsanya sendiri.

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENERIMA SESUATU DARIPADA DATUK BANDAR SHAH ALAM, DATUK MAZALAN MD NOOR 10.10.10