SAYA duduk diam dan sesekali gelak kerana dia memang mahu berlawak hari itu. Di rumahnya di Kuala Lumpur, saya duduk di sebelahnya. Dua kawan lain saling duduk mengadap.
Tujuan saya datang ke rumahnya hari itu hanyalah kerana ada sedikit kerja bersama kawan-kawan yang mesti disiapkan dan perlu diketahui oleh artis veteran itu. Maka berceritalah kami, dari cerita orang kampung hinggalah ke cerita kerabat Diraja. Semuanya santai dan biasa-biasa.
Cuma satu daripada cerita artis veteran ini yang mahu saya kongsi untuk mengurangkan tekanan ekoran harga barangan makanan yang tinggi sekarang ialah, cerita artis veteran itu tentang pengalamannya berada di Thailand bersama beberapa rakan lain, termasuk seorang yang tubuhnya kecil sedikit daripada yang lain.
Walaupun kejadian itu telah lama berlalu, tapi sewaktu saya di bilik air semalam, terasa mahu terkencing-kencing apabila teringatkan cerita artis veteran itu.
Kisahnya di rumah sundal di negara yang kaya dengan industri seks itu. Kata artis veteran berkenaan, kawannya yang kecil sedikit tubuhnya berbanding kawan yang lain itu mahu 'mencuba' dosa di negara orang!
Dia terasa keinginannya terlalu memuncak apatah lagi kunjungan ke premis sundal itu, sentiasa terganggu oleh godaan perempuan-perempuan cantik.
Namun masalah asas ialah soal bahasa. Perempuan-perempuan cantik itu ketika itu, tidak tahu berbahasa Inggeris, apatah lagi berbahasa Melayu. Maka soal menggoda dan bertanya harga hanya menggunakan bahasa isyarat. Sekejap guna mimik muka, sekejap guna jari dan sekejap yang lain pula menggunakan kaki atau goyang punggung si perempuan sundal!
Diceritakan artis veteran itu, mereka tidak mahu peduli kalau si kawan bertubuh kecil itu mahu mencuba. Sudah namanya terjebak ke tempat penuh celaka itu, apa lagi kalau bukan celaka yang mahu dicari.
Maka si kecil itu pun menerima tawaran salah seorang perempuan yang menggodanya. Beza ketinggian si perempuan dengan lelaki itu lebih kurang dua kali ganda tingginya! Tapi cerita artis veteran ini, peduli apa semua. Mereka tidak mahu campur kerana itu urusan si kawan yang bertubuh kecil itu! Kalau dia mahu menempah dosa, apa mahu dikatakan lagi.
.
Masuklah dia ke dalam bilik bersama perempuan seksi itu. Cerita artis veteran itu lagi, mereka sangka ia akan mengambil masa, tetapi tidak sampai lima minit si lelaki bertubuh kecil itu keluar tergesa-gesa. Tergesa-gesa dia keluar sambil diikuti perempuan sundal di belakangnya.
Diceritakannya lagi, perempuan sundal itu membebel tanpa henti sambil mulutnya memaki hamun dalam bahasa yang artis veteran dan kawan-kawan lain tidak faham. Si lelaki kecil pula hanya menundukkan muka.
Lalu ditanyakan kawan-kawan untuk meredakan keadaan kerana bimbang ada yang tidak kena. Tetapi pertanyaan itu kemudian dijawab oleh perempuan sundal itu dengan marah menggunakan bahasa isyarat menggunakan tangan dan jari!
Perempuan itu mula-mula tunjukkan jari telunjuknya. Kemudian dia genggam penumbuk dan tunjukkan lengannya pula. Kemudian perempuan itu geleng-gelengkan kepala.
Semua terdiam mulanya kurang faham. Tapi lama kelamaan mula faham dan reti. Lalu ditanyakan kepada si lelaki kecil itu yang juga terkenal dalam dunia artis.
Lelaki itu jawab dengan muka selamba: "Dia ingat aku kecil. Itu fasal dia selamba ajak aku. Tapi bila dia tahu keadaan sebenar. Dia takut dan marah! Aku cabutlah!"
Demikian cerita dari mulut artis veteran itu yang kalau saya terkenang, mesti hampir terkencing-kencing menahan gelak!