SETIAP kali makan, dia dapat melihat 12 budak kecil itu sentiasa mengelilingi pinggannya. Kala tangannya mahu mengambil nasi, tangan 12 budak kecil itu turut berlumba mahu mengambil nasi. Ketika dia mahu mengambil lauk, budak kecil 12 ekor itu juga berlumba-lumba memegang sudu di mangkuk lauk yang mahu diambilnya.
Ketika dia mahu berbaring, 12 budak itu ikut serta. Berbaring di sekelilingnya sehingga dia rimas dan tidak dapat melelapkan matanya.
Begitu juga ketika mandi. Dia mandi dan budak 12 ekor itu pun ikut mandi. Ketika matanya mahu terlelap, budak 12 ekor itu berdiri di keliling kelopak matanya. Tidak besar budak itu, sebesar jari tetapi nakalnya mengganggu berbulan-bulan lelaki itu. Begitulah, dalam setip apa sahaja perbuatannya, 12 budak kecil itu katanya, sentiasa mengganggu.
Lelaki itu seorang jurutera, bergaji lima angka. Kalau berjaya dilelapkan matanya selepas bertarung dengan gangguan budak 12 ekor itu, dia akan diuji dengan mimpi pula.
Antara mimpinya ialah dibawa menaiki sebuah kereta dan lalu di depan sebuah pagoda di Kemboja. Sami pagoda itu dan kanak-kanak sekolah berpakaian seragam dilihatnya berbaris tunduk sambil memberi tabik hormat kepadanya. Kemudian dalam mimpi yang bersambung di pagoda yang sama dia melihat seorang pelajar memberi makanan kepada seekor monyet dan ular sawa.
Dalam perjalanan dalam mimpinya itu, dia melihat sami pagoda itu memberi taklimat kepada ratusan pelajar sambil memberitahu dia adalah orang mulia!
Hampir setengah tahun dia mengalami kejadian itu dan kemuncak penderitaannya kedua-dua matanya buta dan tidak mampu melihat lagi. Dipeluknya dalam tidur lesen jurutera yang diperolehinya berpuluh tahun lalu, mungkin kerana hiba kehilangan pekerjaan yang lumayan di dunia.
Dia juga seperti cerita sahabat kita, saudara Samadjfr.blogspot. kehilangan banyak wang dan kehidupan yang mewah. Bayangkan 30 peratus daripada pengeluaran EPfnya sahaja mencecah lebih setengah juta!
Kini orang itu kehilangan segala-galanya. Gangguan 12 budak kecil itu hanya akan hilang selepas dia membaca ayat yang diajar oleh seorang ustaz. Dia perlahan-lahan menerima kehidupan di luar duga. Hilang penglihatan, tetapi kemurungannya telah tiada.
Dia selalu memberitahu saya yang pernah sakit bahawa kalau ini memang ujian Tuhan, kita kena menerima dengan hati terbuka dan syukur. Dia lelaki yang amat kuat dan gigih kini walaupun terpaksa menjalani hidup dalam dunia serba gelap. Namun hatinya memang cerah dan terang. Saya tahu dan melihatnya sendiri. Dia biarkan dirinya merana bagai lilin terbakar dann dia membantu terlalu banyak anak bangsanya yang hidup dalam serba kekurangan.
Semoga Allah memberikan kembali kesihatan kepadanya.