TIGA orang penunggang dan pembonceng motosikal maut dalam dua kejadian berasingan di sekitar Tapah petang semalam dan malam tadi.
Dalam kejadian pertama, sepasang suami isteri, Ahmad Azhar Hassan, 30, dan isterinya Hazah Mohamad Yusof, 24, terbunuh apabila motosikal dinaiki dirempuh dari depan oleh sebuah kenderaan di KM 7, Jalan Tapah-Changkat Petai, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Roslan Bek Ahmad, berkata pasangan suami isteri itu penjual buah-buahan berasal dari Tapah.
Katanya, kejadian berlaku jam 9 malam dan kedua-dua terbunuh di tempat kejadian kerana kecederaan teruk manakala kenderaan yang merempuh mereka menghilangkan diri.
Itu adalah kejadian kedua dalam tempoh 24 jam membabitkan kematian suami isteri menaiki motosikal. Malam kelmarin pasangan warga emas, Mokhtar Putih Ahmad, 60 dan isterinya Piah Hussin, 52, terbunuh apabila motosikal mereka dirempuh sebuah kenderaan di KM4.6 jalan Felda Lasah-Sungai Siput, dekat Gerik.
Sementara itu, dalam kejadian berasingan jam 5.40 petang semalam, seorang pelajar Politeknik Tanjung Malim, Mohd Afzalizam Zizan, 18, turut maut apabila motosikal ditunggangnya bertembung sebuah kenderaan pacuan empat roda di KM 116 Jalan Ipoh-Tanjung Malim.