Salah satu syarikat yang ada kepentingan bersama Syabas dalam urusan pembekalan air di Selangor, Puncak Niaga Sdn Bhd hari ini bergolak digegar oleh piket 17 bekas pekerjanya yang dipecat.
Piket itu diketuai bekas Pengurus (Keselamatan dan Kesihatan) Kaharuddin Mohamad Ali, mendesak syarikat terbabit membayar pampasan atau mengambil semula semua yang dipecat bekerja.
Menurut Kaharuddin, semua yang dipecat adalah kakitangan bukan eksekutif, eksekutif fan pengurusan. Mereka mendakwa dipecat tanpa alasan yang kukuh dan menerima noti bertarikh 19 Oktober 2010 itu pada 30 Oktober lalu.
"Kami dipecat serta-merta tanpa alasan kukuh," kata Kaharuddin ketika mengetuai piket yang dilakukan oleh 17 pekerja terbabit.
Piket ini menyerlahkan lagi masalah yang sedang berlaku membabitkan kepentingan syarikat konsesi bekalan air yang diketuai Tan Sri Rozali Ismail.
Minggu lalu, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim menghantar memorandum kepada DYMM Yang Dipertuan Agong berhubung beberapa masalah berkaitan air melibatkan Syabas di mana Rozali adalah pengerusi eksekutifnya.
Beberapa hari lalu pula, isteri kedua Rozali, iaitu Cassandra, 25, memohon cerai daripada suaminya itu.