Kamsiah sendirian bersanding di atas pelamin. Suaminya kini masih dirawat di wad selepas terbabit dalam kemalangan. Tuhan menguji sejauh mana sabarnya seorang wanita bergelar pengantin baru. |
Namun bagi pengantin baru, Kamsiah Abdul Majid, 21, malam pertama bukanlah sesuatu yang paling penting dalam hidupnya. Baginya, ada yang lebih utama iaitu, kasih sayang yang kekal abadi, tak luntur dan lekang dilandai badai dan cubaan.
Semalam, Kamsiah bersanding sendirian di atas pelamin sempena menyambut hari pernikahannya dengan suami tercinta, Asmani Aziz, 32.
Walau dalam hatinya hanya Allah sahaja yang tahu, dia tetap tabah menunggu agar suaminya yang kini dirawat di wad Hospital Melaka, cepat sembuh selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya beberapa hari sebelum mereka sepatutnya bernikah.
Asmani patah kedua-dua kakinya. Namun kelmarin dia telah selamat menjalani pernikahan dengan Kamsiah, dijalankan dalam satu majlis penuh unik dan meriah di wad tempat dia dirawat.
Sementara bagi Kamsiah pula, dia telah diuji untuk mengukur betapa tinggi harga sabar seorang perempuan yang baru sahaja ditabalkan sebagai pengantin baru.