nuffnang ads

Monday, December 6, 2010

NASIB KHIR TOYO MENJELANG PILIHANRAYA TERUMBANG-AMBING, TERTUNGGANG-TONGGENG

KITA tolak kes mahkamah Khir Toyo ke tepi. Kita bicara soal masa depannya dalam politik. Dia masih muda. Ketika muda dia diberi rezeki menjadi Menteri Besar. Namun Khir tidak berapa patuh pada nasihat orang lama. Orang lama kata yang muda disayangi, yang tua dihormati!

Silapnya pernah sekali Khir menghadiahkan penyapu kepada orang yang lebih tua daripada dirinya. Kata Khir hadiah penyapu itu amat bermakna dan membawa tujuan yang baik. Hakikatnya dalam budaya orang kita, hatta orang Cina, penyapu dianggap benda yang bawa sial walaupun dalam agama ia tidak benar.

Sesetengah orang kata masa depan Khir dalam politik belum tentu dan tidak menentu. Masa depan politiknya barangkali ada kaitan dengan penyapu?

Menjelang pilihanraya depan, tidak mustahil nama Khir akan cicir. Kawasan diwakilinya juga mungkin gelincir dan menjadi milik orang lain. Soalnya, bolehkah Khir menerima keadaan itu kalau ia berlaku? Apakah Khir akan mempertahankan kedudukannya dalam Umno Selangor demi satu survival berdasarkan usianya yang masih muda?

Mengikut logik, memang amat cerah nama Khir akan basah dan dipadamkan daripada senarai calon wakil rakyat Barisan Nasional pilihanraya depan. Walaupun dia belum didapati bersalah, tetapi memilih seseorang calon yang mula diperhatikan orang dengan persepsi lain, tentu ini satu perjudian yang bakal mengundang risiko amat besar buat Najib.

Bersediakah Najib melabur modal politik di Selangor dengan mengenepikan prinsip dan kehendak majoriti yang mahu wakil rakyat BN mesti terdiri daripada orang yang bersih dan kelihatan bersih pada pilihanraya kali ini?

Mungkin benar kata orang bahawa kerusi Menteri Besar Selangor sememangnya panas. Kita bermula daripada Tan Sri Muhammad Muhd Taib yang satu ketika pernah menjadi menantu sultan. Kemudian kita lihat pada Tan Sri Abu Hassan Omar. Kemudian tiba pula giliran Khir. Kalau dibaca dari kitab pandangan mata kasar, begitulah. Nasib malang akan menunggu sesiapa sahaja yang menjadi menteri besar Selangor. Dan tidaklah mustahil ia merebak dan melarat pula kepada Tan Sri Khalid Ibrahim?

Namun berbalik kepada soal Khir dan masa depan politiknya, isyarat seolah-olah telah berbunyi. Atau isyarat yang berbunyi itu sengaja dibunyikan supaya Khir faham dan khatam memahami sebuah kehendak pucuk pimpinan?

Kini tinggal Noh Omar akan bermain secara perseorangan dalam permainan politik Umno di Selangor. Tanpa kehadiran Khir, mungkin kedudukan Noh akan lebih selamat. Soalnya pula, selamatkah Noh kalau berdiri kurang jejak tanpa kekuatan akar umbi untuk menerajui Umno Selangor?

Yang pasti Umno Selangor akan menyaksikan ada yang terpinggir. Apakah yang terpinggir itu adalah Khir? Kita tunggu dan lihat. Semboyan telah berbunyi. Ada keranda politik akan dipikul.

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENERIMA SESUATU DARIPADA DATUK BANDAR SHAH ALAM, DATUK MAZALAN MD NOOR 10.10.10