nuffnang ads

Friday, December 31, 2010

MAAF CAKAP: JAKIM INI UNTUK APA SEBENARNYA?

Maaf cakaplah. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) ini untuk apa sebenarnya? Dalam sebuah negara yang menjadikan Islam sebagai agama rasminya, dalam keadaan pemimpin utama dan tertinggi negara merupakan penganut Islam dan dalam keadaan majoriti rakyat negara ini beragama Islam, Jakim mahu meletakkan fungsi dan peranan serta tanggungjawabnya di mana?

Dua perkara membabitkan Akta Halal dan ketidakupayaan Jakim bertindak ke atas seorang lelaki Islam yang membuat pengakuan kamikazenya sebagai gay, menjadi contoh terbaik untuk rakyat menjadi keliru dan celaru tentang peranan Jakim dalam memajukan Islam sesuai dan sinonim jabatan itu sebagai badan yang diberi gelar Jabatan KEMAJUAN Islam Malaysia.

Dalam isu Akta Halal, sehingga kini Jakim masih TIADA KUASA MUTLAK untuk mengenakan tindakan terhadap premis yang menggunakan sijil halal palsu. Jika benarlah dakwaan Setiausaha Kerja Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan bahawa akta itu sudah dirangka sejak beberapa tahun lalu, tetapi masih belum diluluskan sehingga kini, ia suatu yang mengaibkan.

Walaupun kesalahan harus dituding kepada kerajaan yang dilihat sambil lewa dengan tidak bertindak segera mewartakan Akta Halal itu, Jakim sebagai mekanisme kerajaan khusus dalam hal ehwal Islam juga harus dipersalahkan kerana kelihatan tidak mendesak agar akta itu segera dijadikan kenyataan.

Kegagalan meluluskan akta itu dengan segera, sebenarnya mendedahkan umat Islam kepada pelbagai kemungkinan dan risiko. Kebajikan umat Islam terhadap kehalalan makanan di premis makanan di negara ini sewajarnya tidak boleh dipandang ringan, apatah lagi ia membabitkan perkara asas dalam hukum hakam - halal atau haram!

Jakim tidak boleh memberi alasan ia bukan satu badan penguatkuasaan kerana sebagai badan yang diberi tanggungjawab menjaga kepentingan umat Islam, Jakim seharusnya berikhtiar dan mengambil inisiatif bersama agensi lain berkaitan agama Islam seperti jabatan agama dan majlis agama serta majlis fatwa untuk melindungi kepentingan umat Islam di segi makanan halal.

Perkara kedua yang menyebabkan umat Islam semakin celaru ialah apabila Jakim turut gagal bertindak untuk melakukan sesuatu yang berkesan menangani kes seorang jurutera Melayu yang terus-terang menyatakan dirinya seorang gay.

Seperti kata Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamed Sheikh Abdul Aziz, bahawa Jakim tidak mempunyai kuasa sebagai penguatkuasa untuk bertindak ke atas kes itu. Soalnya, kuasa itu di mana dan pada siapa? Soalnya lagi apakah Jakim mesti berdiam dalam kes ini hanya atas alasan badan itu tidak diberi kuasa? Apakah alasan kuasa yang ada pada agensi itu sekadar untuk mencegah boleh memuaskan hati semua umat Islam di negara ini.

Pimpinan utama Jakim harus bermuhasabah tentang tanggungjawab membela Islam walaupun tidak diberi kuasa dan sekali gus kenilai dan menginterprestasi semula istilah KEMAJUAN ISLAM yang digunapakai pada nama agensi itu.

Jakim sebagai sebuah agensi yang bertanggungjawab dalam hal ehwal Islam harus bertanya ke dalam diri,  sudah bersungguh-sungguhkah badan itu melindungi hak umat Islam di negara ini?

Sehingga bila kebajikan umat Islam akan terbela dengan cara yang wajar dan apakah alasan tiada kuasa akan terus dijadikan alasan oleh Jakim sehinggalah sampai bila-bila? Umat Islam sebagai rakyat majoriti di negara ini maaf cakaplah, sudah mulai muak dan bosan dengan gejala penafian dan berselindung oleh agensi berkaitan Islam ini.

Jikalah benar kuasa ada pada jabatan agama atau majlis agama, apa pula peranan Jakim ketika melihat Akta Halal dan kes gay ini terbiar begitu sahaja sehingga meloyakan pemikiran umat Islam? Apakah Jakim hanya berpeluk tubuh sambil menunggu agensi lain bertindak? Kalau mahu berpeluk tubuh, sehingga bila? Tidakkah Jakim dalam hal ini mempunyai KUASA untuk menasihat jika tidak berani mendesak pihak yang diberi kuasa termasuk kerajaan, supaya menyegerakan proses melindungi kebajikan umat Islam.

Maaf cakap. Sebagai agensi yang menggunapakai istilah KEMAJUAN ISLAM, Jakim sebenarnya tidak boleh lari berdepan realiti dengan alasan tiada kuasa. Jakim sebenarnya banyak diberi kuasa, termasuklah sebagai satu badan pendesak dan penasihat kepada kerajaan dan jabatan agama agar isu halal dan gay misalnya diberi perhatian segera kerana agensi itu adalah agensi yang berfungsi untuk membawa kemajuan Islam.

Apalah makna kemajuan Islam jika Jakim, tidak berfungsi sebagai ejen kemajuan Islam dalam konteks yang sebenar-sebenarnya di dalam negara Islam ini. Kemajuan Islam harus dilihat oleh Jakim sebagai sesuatu yang amat luas dan menyeluruh. Sebagai penguatkuasa, penasihat, pembimbing dan peneraju untuk lebih mendaulatkan Islam dan membela kehidupan serta kefahaman penganut agama itu  di negara ini!

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENERIMA SESUATU DARIPADA DATUK BANDAR SHAH ALAM, DATUK MAZALAN MD NOOR 10.10.10