ORANG ramai yang berasa diri ditangkap dan diperlakukan secara kurang wajar oleh polis, mesti membuat laporan sebagai salah satu cara mengelakkan kes salah laku anggota keselamatan yang bertindak keterlaluan dapat diatasi dan dikurangkan.
Polis pula dinasihatkan supaya bertindak secara profesional dan menghormati undang-undang, hatta ia membabitkan undang-undang berkaitan kesalahan meletak kenderaan di premis yang tertentu.
Pesuruhjaya Suhakam, Datuk Muhammed Sha'ani Abdullah, ketika membuat gesaan itu turut memberi contoh bagaimana Suhakam ada menerima aduan mengenai kes seorang pengawal keselamatan yang mengunci tayar kereta milik seorang pegawai polis, telah diperlakukan secara kurang wajar.
Beliau memberi contoh itu ketika ditemuramah dalam program Kerusi Panas, Radio Bernama petang semalam berkaitan kes penangkapan dan salah laku polis terhadap orang awam.
Menurut Sha'ani, dalam aduan yang membabitkan pengawal keselamatan itu, pegawai polis berkenaan dipercayai tidak berpuas hati apabila tayar keretanya dikunci kerana melakukan kesalahan di tempat letak kereta.
Sebaliknya, kata beliau pengawal keselamatan yang menjalankan tugas itu pula yang ditangkap kemudiannya oleh polis atas kesalahan tertentu, dipercayai berbangkit daripada rasa tidak puas hati pegawai polis terbabit.
Beliau sekadar memberi contoh aduan yang diterima Suhakam itu, bagi menjelaskan isu salah laku polis terhadap orang awam, terutama membabitkan kekasaran apabila membuat sesuatu tangkapan.
Pada masa sama, Sha'ani menasihatkan pegawai dan anggota polis supaya lebih menghormati undang-undang, termasuk juga undang-undang berkaitan kesalahan tempat letak kereta walaupun ia ada kaitan dengan kepentingan mereka.
Dalam program Kerusi Panas itu, kebanyakan pemanggil turut mencadangkan supaya polis yang membuat tangkapan di mana-mana premis supaya tidak berpakaian preman, sebaliknya berpakaian seragam bagi mengelakkan ia dimanipulasi oleh pihak tertentu.
Malah Sha'ani juga mengingatkan walaupun tangkapan dibuat polis berpakaian seragam, orang awam masih berhak meminta atau melihat kad kuasa mereka sebagai memastikan ia adalah satu tangkapan yang sah di segi undang-undang atau tidak dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.