nuffnang ads

Thursday, December 23, 2010

KONGSI GELAP KUASAI PASARAN GETAH SIBU, SARIKEI DAN BINTANGOR

KENAIKAN harga getah sejak kebelakangan ini sepatutnya menjadi rahmat dan nikmat bagi golongan pekebun dan penoreh getah.

Bagaimanapun, di beberapa kawasan di Sarawak, kenaikan harga getah dikatakan bertukar dari rahmat menjadi musibat!

Ini ekoran tindakan kumpulan kongsi gelap dan samseng, bertindak cuba menguasai pasaran getah, terutama di Sibu, Sarikei dan Bintangor menggunakan modus operandi yang busuknya melebihi bau busuk getah sekerap!

Kumpulan kongsi gelap ini dikatakan mengamalkan taktik jahat dengan mengugut orang kampung supaya menjual semua hasil getah kepada mereka, tetapi dengan harga yang jauh lebih murah! Keadaan dilaporkan bertambah buruk apabila kumpulan kongsi gelap ini turut menggunakan ugutan untuk mencederakan sesiapa sahaja yang enggan menjual getah kepada mereka.

Penjenayah dipercayai mengambil kesempatan di atas kenaikan harga getah yang kian melambung ke paras tertinggi kebelakangan ini untuk mencari untung. Sebaliknya mereka memerah keringat orang kampung dengan membeli hasil getah dengan harga yang amat murah.

Polis memang mendengar cerita tentang ugutan kumpulan kongsi gelap ini yang dikatakan berleluasa, namun mangsa pula dilaporkan tidak berani tampil untuk menyalurkan maklumat.

Hal ini diakui Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Salleh. Beliau meluahkan kesal kerana ketika jenayah dikatakan berleluasa, penduduk pula enggan bekerjasama.  Sebaliknya kata beliau masyarakat  lebih suka bersungut di tempat yang tidak sepatutnya.

Beliau turut mengakui ada terdengar penjenayah juga dikatakan memanipulasi pasaran kelapa sawit menggunakan modus operandi serupa - mengancam orang ramai menjual hasilnya dengan harga murah.

Setakat ini katanya, 12 anggota kongsi gelap yang terbabit dalam jenayah membabitkan pembelian dan penjualan hasil getah ini telah ditahan mengikut Ordinan Darurat. Namun, suara rakyat tentang masih berleluasanya jenayah itu semakin bising di merata tempat.

Ugutan sehingga mahu mencederakan mereka yang enggan menjual getah kepada kongsi gelap ini dengan harga murah, seolah-olah mengembalikan cerita sejarah di zaman lampau di mana hukum rimba digunakan - yang kuat menang, yang lemah ditindas.

Orang kampung harus berani ke depan menyalurkan maklumat namun pada masa sama pihak berkuasa juga harus mempunyai pertimbangan lebih terbuka untuk mengkaji dan meneliti kenapa masyarakat lebih gemar berbuat bising berbanding membuat laporan polis.

Mungkin juga mereka berasa terancam kerana proses undang-undang untuk mengenakan tindakan ke atas penjenayah tidak berlaku dalam tempoh sejam. Ia memakan masa dan dalam masa penjenayah itu bebas untuk tempoh sementara, sudah tentu ia dianggap sebagai satu bahaya kepada masyarakat yang melaporkan kejadian itu kepada pihak berkuasa.

Apa pun jenayah kongsi gelap kelas getah sekerap ini mesti dibanteras dengan apa cara sekalipun. Pada masa rakyat diminta bekerjasama, pihak berkuasa mesti kelihatan boleh menyakinkan mereka bahawa keselamatan masing-masing juga akan terjamin dan terpelihara.

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENERIMA SESUATU DARIPADA DATUK BANDAR SHAH ALAM, DATUK MAZALAN MD NOOR 10.10.10