DIA dilihat selalu berada di simpang jalan di satu kawasan sibuk di Pulau Pinang, sejak tiga tahun lalu. Dengan pakaian compang-camping dan tak terurus, dia selalu berkata begini kepada setiap orang yang lalu lalang: "Encik, tolong saya. Boleh bagikan saya sikit duit tak? Saya nak beli tiket bas nak balik Taiping. Duit saya hilang!"
Selama tiga tahun dia melakukan kerja itu. Namun pada 25 Disember lalu, dek kerana keletihan dia tertidur di atas tebing simen longkang. Mungkin kerana terlalu lelap, dia akhirnya tergelincir dan terjatuh ke longkang berdekatan.
Nahas itu disedari orang ramai, lalu mereka menghubungi pasukan Bomba dan Penyelamat. Pasukan Bomba yang tiba mendapati lelaki itu tidak sedarkan diri dan menghantarnya ke hospital. Bagaimanapun, ketika bomba memeriksa pakaian lelaki itu, mereka terkejut apabila menemui sebungkus wang dibalut dalam plasti berjumlah RM4,643!
Wang itu dipercayai hasil kerjanya selama tiga tahun tanpa mengenal penat dan lelah mengecek daripada orang ramai yang lalu lalang - atas alasan mahu membeli tiket pulang ke Taiping!
Beberapa hari selepas menerima rawatan, lelaki itu pun sihat dan wang yang disimpan pihak berkuasa diserahkan semula kepadanya.
Tidak mustahil dia akan kembali ke 'pejabat' lamanya menyambung kerja yang belum usai dan kembali meneruskan misinya mengumpul wang hanya dengan menjual produk diperbuat daripada air liur berjenamakan "nak beli tiket balik ke Taiping"!!